KUALA LUMPUR: Tiada lagi julukan 'Patatimo' buat beregu lelaki meningkat naik negara, Muhammad Haikal Nazri-Wan Arif Wan Junaidi apabila gandingan mereka sah dipisahkan.
Pasangan itu menjadi mangsa keadaan susulan perpisahan gandingan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang memaksa barisan kejurulatihan merombak gandingan yang ada bagi membentuk kombinasi baharu dalam skuad beregu lelaki negara.
Selepas ini, Izzuddin akan bergandingan bersama Haikal, Sze Fei digandingkan dengan Choong Hon Jian manakala Wan Arif diberikan pasangan baharu Yap Roy King.
Tanpa berselindung, Wan Arif, 20, mengakui kecewa sebaik mendapat perkhabaran mengenai perkara berkenaan, Jumaat lalu namun menerimanya dengan hati yang terbuka.
Katanya, selepas perbincangan dengan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, ia sedikit sebanyak meredakan kegelisahannya termasuklah ketika diberitahu akan membentuk gandingan bersama Roy King.
"Perasaan saya memang sedih dan kecewa selepas dengar pengumuman berkenaan Jumaat lalu kerana perkara ini berlaku secara tiba-tiba. Memang agak sedih dan saya hanya berdiam diri, cuma beritahu kepada keluarga.
"Ketika itu, saya terkilan kerana terfikir-fikir siapakah pasangan baharu nanti. Selepas mengadakan pertemuan dan berbincang dengan Rexy, ia sedikit sebanyak dapat meredakan rasa kecewa," katanya.
Wan Arif percaya dia akan membentuk gandingan yang baik bersama Roy King, lebih-lebih lagi dia memiliki kemampuan untuk bermain di mana-mana bahagian dalam gelanggang.
"Mungkin Roy King boleh bermain di bahagian belakang dan saya akan tukar ke hadapan. Sebelum ini ketika bersama Haikal, kami bergilir-gilir ambil tanggungjawab untuk bermain di bahagian depan dan belakang," katanya.
Wan Arif-Haikal yang diberi julukan 'Patatimo' kerana masing-masing berasal dari Terengganu dan Kelantan pernah merangkul tiga kejuaraan sepanjang gandingan mereka apabila menjuarai Siri Antarabangsa Terbuka Austria 2021, Siri Antarabangsa Hellas 2021 dan Siri Antarabangsa Ukraine 2021.
Mereka hampir meraih kejuaraan pertama dalam Jelajah Dunia BWF apabila melangkah ke final Masters Orleans 2022 tetapi terpaksa menarik diri selepas Haikal positif COVID-19 sekali gus sekadar berpuas hati dengan gelaran naib juara.