KUALA LUMPUR: Adakah Lee Zii Jia benar-benar bersedia untuk menggalas tugas selaku perseorangan utama lelaki negara menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 14 hingga 19 Februari ini?
Persoalan itu timbul selepas pemain nombor empat dunia berkenaan mengakui agak terganggu dengan kemelut luar gelanggang yang menghantui dirinya selepas bekas jurulatihnya, Indra Wijaya dilaporkan mahu mengambil tindakan undang-undang atas dakwaan pelanggaran kontrak.
Zii Jia, 25, mengakui kecewa dengan kontroversi terbaru itu tetapi mahu kekal positif dan menganggap ia sebagai ujian daripada Tuhan untuk dirinya.
"Saya juga manusia biasa dan ada perasaan, saya sudah cuba yang terbaik untuk selesaikan tetapi nampaknya macam tidak habis lagi. Sudah tentu agak kecewa tetapi saya tahu ini adalah satu ujian Tuhan kepada saya dan ia adalah proses.
"Saya cuba untuk tidak komen mengenai perkara ini terlalu banyak. Nanti komen banyak, salah banyak… saya pun tidak tahu apa akan jadi. Saya mahu selesaikan perkara ini dengan baik," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan pusat pertama skuad negara bagi menghadapi BAMTC di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, hari ini.
Selain Zii Jia, Malaysia turut menyenaraikan seorang lagi perseorangan lelaki, Leong Jun Hao pada untuk BAMTC kali ini.
Sebelum kontroversi dengan Indra tercetus, Zii Jia yang juga juara Asia berdepan dengan permulaan musim yang hambar apabila tersingkir di pusingan pertama dan kedua dalam tiga kejohanan disertainya iaitu Terbuka Malaysia, Terbuka India dan Masters Indonesia.
Pada BAMTC kali ini, Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan diundi dalam Kumpulan B bersama India, Kazakhstan dan UAE dengan juara serta naib juara kumpulan layak ke peringkat suku akhir sebelum undian semula dilakukan bagi menentukan lawan untuk perebutan tempat ke separuh akhir.
Sementara itu, pengurus Zii Jia yang juga kakaknya, Lee Zii Yii mengesahkan pihaknya ada menerima surat daripada peguam Indra baru-baru ini.
Bagaimanapun, Zii Yii memberitahu pihaknya menyerahkan kepada peguam mereka untuk tindakan lanjut.
"Ya, saya boleh sahkan peguam kami ada menerima surat daripada peguam Indra tetapi kami tidak mengetahui isi kandungannya. Kami tidak mahu memanjangkan isu ini dan menjadi lebih buruk, jadi kami menyerahkan kepada peguam untuk menguruskannya," katanya.
Indra yang menggalas tanggungjawab selaku jurulatih Zii Jia, Januari tahun lalu digugurkan daripada pasukan pada November.