Ahad, 5 Februari 2023 | 6:45pm
Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

Nasihat Chong Wei kepada skuad badminton negara di Dubai

KUALA LUMPUR: Semangat berpasukan tinggi mampu menjadi 'senjata' buat skuad negara apabila menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BAMTC) 2023 yang akan berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 14 hingga 19 Februari ini.

Justeru, bekas jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei optimis Malaysia tidak berdepan masalah untuk sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir sekali gus mengesahkan slot automatik ke saingan Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China pada Mei ini.

"Apabila beraksi dalam kejohanan berpasukan, semangat berpasukan tinggi sangat penting, kita bukan bermain untuk diri sendiri. Menang atau kalah, seluruh pasukan perlu ambil tanggungjawab, jangan ada sikap salah-menyalahkan antara satu sama lain.

"Saya juga ingin mengingatkan pemain agar memastikan diri mereka mempunyai tahap kecergasan yang tinggi. Tahun ini sangat penting kerana pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik (Paris 2024) akan bermula dan penting untuk kita mengurangkan risiko daripada mengalami kecederaan," katanya.

Pada kempen BAMTC kali ini, Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan diundi dalam Kumpulan B bersama India, Kazakhstan dan UAE dengan juara serta naib juara kumpulan layak ke peringkat suku akhir sebelum undian semula dilakukan bagi menentukan lawan untuk perebutan tempat ke separuh akhir.

Mengimbau kembali pengalamannya setiap kali beraksi dalam kejohanan berpasukan bersama skuad negara sebelum ini, Chong Wei, berkata selaku pemain perseorangan lelaki utama, dia memikul tanggungjawab untuk memastikan mata pertama buat pasukan.

"Sudah tentu ia bukan tanggungjawab yang mudah, mata pertama buat pasukan adalah sangat penting untuk memberi keyakinan kepada barisan yang pemain lain. Jadi, pemain pertama yang diturunkan, perlu bersedia dari aspek mental dan fizikal," katanya.

Sebagai rekod, sejak BAMTC dianjurkan pada 2017, pasukan negara tidak pernah berjaya menamatkan saingan di kelompok empat terbaik dengan pencapaian terbaik mara ke suku akhir.

Malaysia kali ini menyenaraikan, Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao bagi menggalas tugas dalam acara perseorangan lelaki selain Goh Jin Wei dan Wong Ling Ching (perseorangan wanita); Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki); Pearly Tan-M Thinaah dan Teo Mei Xing-Go Pei Kee (beregu wanita); Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

Berita Harian X