Ahad, 5 Februari 2023 | 5:34pm
 Beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei ketika beraksi pada Terbuka Malaysia di Bukit Jalil, bulan lalu. Mereka berjaya menjuarai Cabaran Antarabangsa Iran di Tehran, hari ini. - Foto BERNAMA
Beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei ketika beraksi pada Terbuka Malaysia di Bukit Jalil, bulan lalu. Mereka berjaya menjuarai Cabaran Antarabangsa Iran di Tehran, hari ini. - Foto BERNAMA

Sentuhan Nova buat negara mula tunjuk hasil

KUALA LUMPUR: Sentuhan jurulatih baharu dari Indonesia, Nova Widianto sudah mula menampakkan hasil menerusi kejayaan dua beregu campuran utama kebangsaan beraksi di pentas final Cabaran Antarabangsa Iran di Tehran, hari ini.

Aksi final yang berlangsung di Kompleks Sukan Persatuan Badminton Iran itu menyakskan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei merangkul kejuaraan pertama musim ini selepas menundukkan rakan senegara, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing menerusi kemenangan 21-19, 21-15 dalam tempoh 30 minit.

Kemenangan itu juga membolehkan Tang Jie-Ee Wei menebus kekecewaan mereka tewas di tangan lawan sama ketika final Cabaran Antarabangsa Malaysia, Disember tahun lalu.

Bagi Nova, dia gembira dengan prestasi ditunjukkan kedua-dua pasangan yang menjadi sandaran untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada kejohanan kali ini.

"Sudah tentu saya berpuas hati dengan pencapaian yang dilakar kedua-dua pasangan itu biarpun ini hanyalah kejohanan bertaraf Cabaran Antarabangsa. Apa yang paling penting adalah mereka berjaya mengutip mata maksimum," kata Nova yang memulakan tugasnya awal bulan lalu.

Kejayaan di Tehran sudah pasti membakar semangat Tang Jie-Ee Wei yang berada di kedudukan rangking ke-54 dunia apabila akan menggalas tugas bersama skuad negara menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula dari 14 hingga 19 Februari ini.

Kemenangan itu turut melegakan kem badminton negara memandangkan ia adalah gelaran sulung diraih pemain Malaysia sejak permulaan kempen 2023 di Terbuka Malaysia bulan lalu.

Berita Harian X