Sabtu, 4 Februari 2023 | 8:19pm
Beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei ketika beraksi pada saingan Terbuka Malaysia di Bukit Jalil, bulan lalu. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei ketika beraksi pada saingan Terbuka Malaysia di Bukit Jalil, bulan lalu. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Gelaran beregu campuran Cabaran Antarabangsa Iran milik Malaysia

KUALA LUMPUR: Gelaran juara acara beregu campuran pada saingan Cabaran Antarabangsa Iran sudah berada dalam genggaman Malaysia apabila dua wakil negara akan membuat perhitungan sesama sendiri pada aksi final, esok.

Aksi final di Dewan Afrasiabi di Tehran itu bakal menemukan dua pasangan utama skuad kebangsaan, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menentang Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing sekali gus mengulangi aksi final Cabaran Antarabangsa Malaysia , Disember tahun lalu di Ipoh, Perak.

Ketika itu, Pang Ron-Mei Xing muncul juara selepas menang dalam pertarungan tiga set 18-21, 21-15, 21-19.

Tang Jie-Ee Wei mengesahkan kemaraan ke final selepas menundukkan pasangan Indonesia, Adnan Maulana-Nita Violina Marwah 20-22, 21-16, 21-9 manakala Pang Ron-Mei Xing mengatasi satu lagi gandingan dari negara sama, Jafar Hidayatullah-Aisyah Salsabila Putri Pranata 21-16, 21-12 pada aksi separuh akhir.

Dalam pada itu, Mei Xing berpeluang merangkul kejuaraan berganda di Tehran apabila turut melayakkan diri ke final dalam acara beregu wanita bersama pasangannya, Go Pei Kee.

Mereka mara selepas tidak berdepan masalah menyingkirkan gandingan Brazil, Sania Lima-Juliana Viana Vieira 21-11, 21-10 pada aksi separuh akhir dan akan membuat perhitungan dengan pasangan Indonesia, Jesita Putri Miantoro-Febi Setianingrum bagi perebutan gelaran juara.

Berita Harian X