Sabtu, 4 Februari 2023 | 6:01pm
Leong Jun Hao (kiri) dan Lee Zii Jia.
Leong Jun Hao (kiri) dan Lee Zii Jia.

BAM bantu perkemas permainan Zii Jia, Jun Hao

KUALA LUMPUR: Tempoh seminggu kem latihan pusat skuad negara bermula Isnin ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkemaskan permainan dua pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 14 hingga 19 Februari ini.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Wong Choong Hann, berkata selepas kedua-dua pemain berkenaan mengalami permulaan musim yang kurang memberangsangkan, barisan kejurulatihan akan membantu mereka terutamanya memperbaiki tahap kawalan bulu tangkis selain melancarkan penukaran taktikal ketika di dalam gelanggang.

"Dari segi fizikal dan stamina, saya fikir mereka tidak mempunyai masalah.

"Cuma, saya fikir kedua-dua pemain itu berdepan masalah menukar taktikal dengan lancar…terdapat banyak ruang yang diambil kesempatan oleh pihak lawan untuk mengutip mata. Jadi, aspek ini perlu diperbaiki dan kami akan cuba bantu dalam tempoh latihan pusat ini.

Zii Jia yang juga pemain nombor empat dunia berdepan permulaan hambar musim ini apabila tersingkir di pusingan pertama dan kedua dalam tiga kejohanan disertainya iaitu Terbuka Malaysia, Terbuka India dan Masters Indonesia.

Jun Hao turut mengalami nasib yang sama apabila gagal melepasi pusingan kelayakan di kejohanan pertamanya tahun ini di Masters Thailand, Selasa lalu.

Sementara itu, Jun Hao mahu segera melupakan detik kekecewaan yang dialaminya selepas tersingkir di pusingan kelayakan di Bangkok sebaliknya mahu fokus untuk melakukan persiapan terbaik bagi membantu pasukan di Dubai.

"Saya akan buat persiapan terbaik, akan memperbaiki kelemahan saya. Saya tidak mahu lagi memikirkan mengenai apa yang sudah berlaku dan jika diberi peluang untuk bermain nanti, sudah tentu saya akan buat yang terbaik bagi membantu pasukan," katanya.

Selain Zii Jia dan Jun Hao, Malaysia turut menyenaraikan Goh Jin Wei dan Wong Ling Ching (perseorangan wanita); Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki); Pearly Tan-M Thinaah dan Teo Mei Xing-Go Pei Kee (beregu wanita); Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

Pada saingan BAMTC kali ini, Malaysia,selaku pilihan keempat kejohanan, diundi dalam Kumpulan B bersama India, Kazakhstan dan UAE.

Berita Harian X