Sabtu, 4 Februari 2023 | 5:47pm
Bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol David
Bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol David

Nicol belum fikir jadi jurulatih peringkat tinggi

KUALA LUMPUR: Bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol David belum memikirkan untuk bergelar jurulatih di peringkat lebih tinggi, sebaliknya mahu memberikan fokus terlebih dahulu terhadap pembangunan akar umbi dalam sukan itu.

Nicol, 39, berkata dia ketika ini memberi tumpuan dalam memupuk minat kanak-kanak seawal usia lapan tahun untuk menceburi sukan skuasy menerusi program di bawah Yayasan Nicol David yang turut mengadakan kelas Bahasa Inggeris.

Katanya, program untuk tempoh masa lima tahun itu diyakini mampu memberikan peluang serta ruang kepada pemain muda dalam laluan mereka untuk menjadi pemain yang boleh beraksi di peringkat lebih tinggi pada masa depan.

"Buat masa ini, tumpuan saya memang ke arah pembangunan akar umbi kerana saya mahu curahkan segala pengalaman yang ada kepada pemain-pemain muda bagi membolehkan mereka rasa pengalaman di peringkat lebih tinggi.

"Saya adalah ketua jurulatih yang akan buat program sepanjang tahun dan sekiranya mula lebih awal, lebih mudah untuk bagi semangat dan keyakinan diri kepada pemain dalam usaha kita bangunkan pemain muda," kata bekas pemain nombor satu dunia itu.

Pada masa sama, Olahragawai Kebangsaan sebanyak 10 kali itu mengakui, tidak mudah untuk pemain-pemain lain mengulangi pencapaiannya yang bergelar pemain nombor satu dunia selama 109 bulan.

Bagaimanapun, Nicol percaya tahap permainan skuasy di Malaysia masih berada pada tahap terbaik meskipun selepas beliau bersara menerusi pemain-pemain seperti Ng Eain Yow dan S Sivasangari.

Berita Harian X