KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong antara tiga daripada tujuh lagenda badminton negara yang bersetuju bagi menganggotai Panel Penasihat Teknikal Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Selain mereka, empat lagi bekas pemain yang turut berada dalam panel berkenaan ialah Datuk Seri Jalani Sidek, Datuk Cheah Soon Kit, Roslin Hashim dan Ong Ewe Hock.
Menerusi kenyataan dikeluarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), hari ini, panel penasihat itu akan dipengerusikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selain turut dianggotai Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ahmad Faedzal Md Ramli, Datuk Teoh Teng Chor, Datuk Ng Chin Chai, Datuk Kenny Goh dan Datuk Dr Ramlan Abd Aziz.
Menurut kenyataan itu, Panel Penasihat Teknikal yang berkhidmat secara pro bono, akan memberikan input tambahan, nasihat, dan panduan strategik kepada Lembaga Pemegang Amanah dan Pengurusan ABM dengan tujuan untuk meningkatkan prestasi pemain untuk tempoh jangka panjang dengan matlamat menaiki podium di Sukan Olimpik, temasya sukan utama dan kejohanan Jelajah Dunia BWF.
"Panel Penasihat Teknikal yang akan bermesyuarat setiap tiga bulan, akan menilai prestasi pemain dan jurulatih dan jika perlu mencadangkan perubahan dalam dasar, program latihan dan penyertaan kejohanan dalam bentuk pengesyoran kepada lembaga pemegang amanah.
"Mesyuarat pertama panel berkenaan dijangka diadakan pada hujung bulan ini," katanya.