Rabu, 25 Januari 2023 | 10:47am
Magda Linette mara ke separuh akhir pertamanya di Grand Slam selepas mengejutkan bekas pemain nombor satu dunia, Karolina Pliskova 6-3, 7-5. - Foto AGENSI
Magda Linette mara ke separuh akhir pertamanya di Grand Slam selepas mengejutkan bekas pemain nombor satu dunia, Karolina Pliskova 6-3, 7-5. - Foto AGENSI

Linette ke separuh akhir Terbuka Australia

MELBOURNE: Magda Linette mara ke separuh akhir pertamanya di Grand Slam selepas mengejutkan bekas pemain nombor satu dunia, Karolina Pliskova 6-3, 7-5 di Terbuka Australia.

Pemain tenis Poland itu meneruskan cabaran untuk negaranya selepas pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek tersingkir.

"Saya sangat emosi, sukar untuk mempercayainya. Ia adalah impian menjadi kenyataan. Saya amat gembira. Terima kasih di atas sokongan, saya sangat memerlukannya.

"Saya tidak mahu terlalu teruja kerana kami masih dalam pertandingan," kata Linette, pemain ranking ke-45 dunia yang akan menyertai kelompok 30 teratas buat pertama kali hasil kemaraan di Melbourne.

Pemain Republik Czech, Pliskova memenangi enam daripada tujuh pertemuan di antara mereka sebelum ini.

Tetapi tahun lalu dia memerlukan tie-break di set terakhir untuk memenangi Terbuka Amerika Syarikat sebelum Linette menebus kekalahan itu dengan keputusan 6-4, 6-1 di Piala Billie Jean King.

Ia adalah perlawanan suku akhir pertama Linette di peringkat ini, tetapi kelihatan seperti perkara biasa buatnya apabila dia bangkit memenangi set pertama dalam tempoh 35 minit.

"Saya kekal tenang dari awal kerana dia begitu hebat mematahkan servis di permulaan perlawanan.

"Saya sedar sukar untuk mematahkan kembali servisnya, jadi saya sentiasa bersedia dan apabila ada peluang saya terus mendapatkannya," katanya. - AFP

Berita Harian X