Rabu, 5 Oktober 2022 | 8:20pm
Aaron-Wooi Yik mahu kekal aksi konsisten di Terbuka Denmark dan Perancis.
Aaron-Wooi Yik mahu kekal aksi konsisten di Terbuka Denmark dan Perancis.

Aaron-Wooi Yik anggap ranking bukan perkara utama

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik lebih menekankan aksi konsisten di dalam gelanggang berbanding terlalu memikirkan mengenai kedudukan ranking.

Semalam, Aaron-Wooi Yik yang muncul juara dunia, Ogos lalu melonjak satu anak tangga untuk menghuni kedudukan ranking nombor empat dunia berdasarkan kemaskini terbaharu dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Ia adalah kedudukan ranking terbaik yang diraih pasangan berkenaan sejak mereka mula digandingkan pada 2017.

Aaron, 25, berkata fokus utama mereka adalah untuk menampilkan aksi konsisten bagi menghasilkan keputusan yang positif dalam kejohanan yang disertai.

"Bagi saya ranking bukan pertama utama. Apa yang lebih utama adalah keputusan dan prestasi yang konsisten di dalam gelanggang," katanya.

Selepas sebulan lebih bergelar juara dunia, Aaron-Wooi Yik akan kembali ke medan pertarungan bermula dengan saingan Terbuka Denmark pada 18 hingga 23 Oktober diikuti Terbuka Perancis 25 hingga 30 Oktober.

"Sekarang kami sedang melakukan persiapan bagi menghadapi Terbuka Denmark dan Perancis. Kami harap boleh menghasilkan keputusan yang positif.

"Namun, pada masa yang sama kami tidak mahu berikan tekanan kepada diri sendiri dan hanya mahu buat yang terbaik. Apa yang kami perlu lakukan adalah sentiasa fokus dalam setiap perlawanan yang kami akan hadapi," kata Aaron.

Di Terbuka Denmark, Aaron-Wooi Yik yang tampil sebagai pilihan keempat kejohanan akan membuka tirai kempen menentang pasangan Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel manakala di Terbuka Perancis pula, naib juara Seluruh England 2019 itu dijadual bertemu Liang Wei Keng-Wang Chang dari China di pusingan pertama.

Berita Harian X