Rabu, 5 Oktober 2022 | 7:07pm
Pemenang Kejohanan Badminton Antara Institusi Kewangan CTOS 2022 bergambar bersama hadiah masing-masing.
Pemenang Kejohanan Badminton Antara Institusi Kewangan CTOS 2022 bergambar bersama hadiah masing-masing.

Maybank handal main badminton

KUALA LUMPUR: Maybank muncul juara Kejohanan Badminton Antara Institusi Kewangan CTOS 2022 menundukkan CIMB 3-1 dalam aksi final yang berlangsung di Sports Arena Puchong, baru-baru ini.

Selaku juara, Maybank membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 berserta trofi Cabaran Piala Perdana manakala CIMB meraih RM3,000.

Tempat ketiga menjadi milik Kementerian Kewangan yang meraih hadiah RM2,000 dan Bank Negara Malaysia yang menamatkan saingan di kedudukan keempat membawa pulang RM1,000.

Kejohanan berkenaan adalah kejohanan badminton tempatan tahunan terbesar sektor kewangan yang menyaksikan 24 pasukan bertanding tahun ini, dua kali ganda jumlah yang menyertai edisi sulung pada 2017.

"Melalui kejohanan badminton ini, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada rakan-rakan institusi kewangan untuk mencipta lebih banyak contoh daripada peringkat korporat dan melibatkan mereka dalam sukan untuk menggalakkan keseimbangan kehidupan bekerja yang sihat dalam masyarakat.

"Dengan cara ini, kita bukan sahaja dapat berusaha untuk mengekalkan kesihatan kewangan negara, tetapi juga kesihatan fizikal," kata Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Data Systems Sdn Bhd, Eric Chin dalam ucapan perasmiannya.

Berita Harian X