Selasa, 4 Oktober 2022 | 7:29pm
Soniia ketika beraksi menentang Thi Trang dalam acara perseorangan wanita.
Soniia ketika beraksi menentang Thi Trang dalam acara perseorangan wanita.

Puchong United 'smash' Ho Chi Minh City BC

SHAH ALAM: Kelab Badminton Puchong United (PUBC) semakin hampir mara ke separuh akhir Senheng redONE Purple League Profesional 2022 selepas menewaskan kelab Vietnam, Ho Chi Minh City BC 13-5 pada perlawanan kedua kumpulan B, hari ini.

Kemenangan itu sekali gus meletakkan mereka selaku pendahulu kumpulan dengan kutipan mata (382-269) berbanding lawan mereka di tempat kedua mengumpul mata (297-371).

Bagaimanapun, dua lagi pasukan di dalam kumpulan B, Sena Bangkok dan Serdang BC masih berpeluang untuk mencabar kedudukan Puchong United selaku juara kumpulan.

Puchong United bermula dengan kemenangan 3-1 yang disumbang oleh Lim Chi Wing yang menewaskan perseorangan lelaki Vietnam, Phan Phuc Tinh 11-4, 8-11, 11-4, 11-7 dalam masa 27 minit.

Momentum Puchong United terhenti seketika apabila jaguh perseorangan wanita Soniia Cheah dikejutkan oleh pemenang pingat gangsa Sukan SEA Hanoi, Vu Thi Trang 8-11 11-8 4-11 8-11 untuk mengikat kedudukan 4-4.

Soniia mengakui beliau berdepan tugas getir akibat kecederaan buku lali yang dialaminya sekali gus memberi kesukaran untuk beraksi.

"Saya perlu pulih sepenuhnya untuk mendapatkan momentum bagi beraksi di dalam Indonesia International Challenge bagi merebut tempat ke dalam skuad kebangsaan bagi saingan Sukan SEA dan Sukan Asia," kata pemenang pingat perak Sukan SEA KL 2017 itu.

Memasuki perlawanan ketiga, Puchong United yang menggandingkan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi meraih kemenangan mudah mengatasi pasangan Nguyen Duc Hong Phuc-Tran Nguyen Chi Tung dalam 'straight set' 11-3 11-3 11-3.

Mengulas perlawanan mereka, pasangan itu berkata, "Kami memang bersedia untuk berdepan dengan pasangan yang memberi cabaran seperti mereka. Jadi, ia tidak memberi sebarang masalah buat kami untuk menang selesa.

Dalam aksi beregu campuran pula, pasangan Tan Kian Meng-Goh Liu Ying tidak berdepan masalah apabila mudah menewaskan lawan mereka Nguyen Anh-Lam My Tien 3-1 (11-10,5-11,11-6,11-6).

"Kami perlu mengelak dari melakukan kesilapan pada set yang pertama. Kami hanya mendapat rentak dan keserasian hanya pada set yang kedua dan kami harus lebih berhati-hati pada perlawanan terakhir berdepan Sena Bangkok nanti.

Kemenangan mutlak 13-5 buat Puchong United disempurnakan oleh Liew Daren yang cemerlang mengatasi Nguyen Hai Dang 3-0 (11-7, 11-9, 11-5)

Musim keenam kejohanan itu sedang berlangsung dari 1 hingga 6 Oktober di Stadium Malawati, Shah Alam manakala pusingan akhir akan berlangsung pada 8 hingga 9 Oktober di Arena of Stars, Genting Highlands.

Berita Harian X