Selasa, 4 Oktober 2022 | 6:00pm
Anna-Mei Xing antara dua beregu wanita yang disasarkan layak beraksi di Sukan Olimpik 2024.
Anna-Mei Xing antara dua beregu wanita yang disasarkan layak beraksi di Sukan Olimpik 2024.

Rexy sasar Anna-Mei Xing ke Paris

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menetapkan sasaran untuk dua beregu wanita negara layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky, berkata selain gandingan utama, Pearly Tan-M Thinaah yang ketika ini menghuni ranking ke-11 dunia, dia juga sedang mempersiapkan pasangan muda, Anna Cheong-Teoh Mei Xing untuk memburu tiket ke Paris.

Katanya, Anna-Mei Xing yang berada di ranking ke-30 mempunyai potensi untuk mengiringi Pearly-Thinaah ke temasya terbesar dunia itu biarpun mengakui jurang masih antara kedua-dua pasangan berkenaan.

"Saya hanya membimbing mereka (Anna-Mei Xing), tetapi mereka juga perlu percaya mampu untuk layak ke Paris. Mereka mempunyai peluang terbaik berlatih bersama Pearly-Thinaah.

"Kepercayaan diri Anna-Mei Xing harus lebih kukuh lagi, mereka pernah kejutkan dua pasangan yang berada di top 10 dunia iaitu Lee So Hee-Shin Seung Chan dari Korea Selatan (ranking ketiga) pada Terbuka Malaysia 2022 serta Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun (ranking keenam) pada Masters Malaysia 2022," katanya.

Rexy berkata, dia sudah pun memulakan langkah untuk mempersiapkan Anna-Mei Xing layak ke Paris manakala gandingan beregu wanita lain yang lebih muda pula dipersiapkan untuk Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

"Saya sudah 'push' mereka (Anna-Mei Xing). Kita jangan tunggu hari esok, kalau hari ini kita boleh 'push' mereka, kenapa perlu tunggu hari esok.

"Beregu yang lain pula prospek mereka adalah untuk Olimpik 2028 dan kita sudah bermula segala persiapan dari sekarang," katanya.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Mei lalu mengumumkan pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 dikenali sebagai 'Race to Paris' ditetapkan bermula dari 1 Mei 2023 hingga 28 April 2024.

Berita Harian X