Selasa, 4 Oktober 2022 | 3:26pm
Aaron-Wooi Yik kini berada di ranking nombor empat dunia.
Aaron-Wooi Yik kini berada di ranking nombor empat dunia.

Aaron-Wooi Yik pintas idola

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melonjak satu anak tangga untuk berada di kedudukan ranking nombor empat dunia berdasarkan kemaskini terbaharu dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini.

Pasangan negara itu memintas kedudukan idola mereka yang juga gandingan berpengalaman dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan yang jatuh di kedudukan nombor lima dunia.

Aaron-Wooi Yik yang muncul juara dunia, Ogos lalu dengan menewaskan Ahsan-Hendra di pentas final ketika ini mengumpul 90,328 mata manakala beregu Indonesia itu dengan 89,495 mata.

Beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi kekal sebagai pasangan nombor satu dunia apabila mengumpul 102, 050 mata diikuti Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia di kedudukan kedua dengan 96,527 mata.

Juara Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin menghuni ranking nombor tiga dunia dengan mengumpul 96,098 mata.

Sebagai rekod, kedudukan terkini Aaron-Wooi Yik adalah pencapaian terbaik mereka yang mula bergandingan pada 2017.

Pencapaian berkenaan dilihat memberi tonik tambahan buat pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu yang ketika ini dalam persiapan bagi menghadapi dua kejohanan di Eropah - Terbuka Denmark (18 hingga 23 Oktober) dan Terbuka Perancis (25 hingga 30 Oktober).

"Terima kasih kepada semua yang berterusan memberi sokongan kepada kami. Fokus kami sekarang adalah persiapan bagi menghadapi kejohanan di Eropah," kata Aaron.

Sementara itu, dua lagi beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei turut berada dalam kelompok 10 terbaik dunia selepas masing-masing kekal di kedudukan nombor sembilan dan ke-10 dunia.

Ee Yi-Yew Sin yang juga pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia tahun lalu mengumpul 72,490 mata manakala Izzuddin-Sze Fei dengan 69,375 mata.

Dalam pada itu, naib juara Terbuka Vietnam 2022, Goh Jin Wei merampas status selaku pemain perseorangan wanita nombor satu negara daripada S Kisona apabila dia melonjak enam anak tangga untuk menduduki tempat ke-44 dunia.

Kedudukan Kisona turut melonjak tiga anak tangga apabila dia ketika ini menghuni ranking ke-46 dunia.

Pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia masih memegang status selaku perseorangan utama negara apabila kekal di ranking nombor tiga manakala bintang Denmark, Viktor Axelsen kekal berada di tangga terasa dunia.

Berita Harian X