Ahad, 2 Oktober 2022 | 6:58pm
Aksi Jin Wei ketika menentang Thuy Linh pada final Terbuka Vietnam.
Aksi Jin Wei ketika menentang Thuy Linh pada final Terbuka Vietnam.

Harapan Jin Wei lebur

KUALA LUMPUR: Pemain profesional wanita negara, Goh Jin Wei terus kemarau kejuaraan sejak 2018 apabila kecundang pada aksi final badminton Terbuka Vietnam 2022 di Stadium Du Nguyen, sebentar tadi.

Jin Wei yang kali terakhir meraih gelaran di Kejohanan Badminton Junior BWF empat tahun lalu tewas 21-15, 21-13 kepada pemain tuan rumah, Nguyen Thuy Linh dalam tempoh 31 minit pada aksi final pertamanya sejak Cabaran Antarabangsa Sepanyol pada Jun 2021.

Kekalahan itu membolehkan Thuy Linh meraih kemenangan pertama dalam empat pertemuan dengan Jin Wei.

Kali terakhir Jin Wei meraih kemenangan ke atas Thuy Linh adalah di Kejohanan Berpasukan Badminton Asia 2018.

Untuk rekod, ini adalah final pertama buat Jin Wei selepas bergelar pemain profesional.

Sebelum ini, Jin Wei 'berehat seketika' apabila mahu memberi tumpuan kepada proses pemulihan selepas melakukan pembedahan sakit dalam perut pada 2019.

Sementara itu, dalam acara beregu campuran yang menyaksikan pertembungan 'antara Indonesia', dimenangi pilihan keempat, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja yang menewaskan Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati 21-13, 21-18.

Beregu wanita pula dimenangi pilihan utama dari Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard yang menewaskan pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi 21-16, 27-25.

Acara perseorangan lelaki pula dimenangi pemain Jepun, Kodai Naraoka yang menewaskan pemain China, Sun Fei Xiang 10-21 21-14, 21-17 dalam tempoh 1 jam 15 minit.

Berita Harian X