Ahad, 2 Oktober 2022 | 3:14pm
Koay Hao Sheng (kanan) dan Zenn Lim Sze Xuan muncul juara perseorangan lelaki dan wanita tenis Terbuka Kuala Lumpur. - NSTP/Aziah Azmee
Koay Hao Sheng (kanan) dan Zenn Lim Sze Xuan muncul juara perseorangan lelaki dan wanita tenis Terbuka Kuala Lumpur. - NSTP/Aziah Azmee

Hao Sheng juara Terbuka Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Pemain tenis negara, Koay Hao Sheng membawa pulang RM8,000 apabila muncul juara perseorangan lelaki Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur 2022 di Pusat Tenis Nasional hari ini.

Hao Sheng menewaskan lawan dari Indonesia, Rifqy Sukma 6-4, 6-0 dalam satu perlawanan yang disifatkannya sebagai sengit dan memerlukan tumpuan penuh itu.

"Pada set pertama, kami berdua bertarung dengan sengit," kata Hao Sheng kepada media selepas perlawanan. "Hari ini adalah final dan kami berdua kepenatan. Begitupun kami masih mampu bersaing dengan baik. Di set kedua pula, saya cuba bangkit untuk meraih kemenangan."

Mengulas lanjut mengenai gelaran yang diraihnya itu, pemain berusia 24 tahun itu berkata, dia gembira dengan kejayaannya namun sedar masih banyak yang perlu diperbaiki pada masa akan datang.

"Saya fikir, ini satu kejohanan yang besar dan saya gembira memenanginya tetapi saya tidak memikirkan banyak perkara... masih banyak yang perlu dilakukan dan diperbaiki lagi.

"Seperti hari ini, peratusan prestasi saya agak kurang. Permainan depan jaring saya tak berapa baik dan sekiranya saya terus melakukan latihan, tentunya ia akan menjadi lebih baik," katanya.

Ini adalah kali pertama Hao Sheng menyertai Terbuka Kuala Lumpur selepas tidak menyertai kejohanan selama empat tahun kerana melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat.

Hao Sheng kembali ke Malaysia pada 2020 namun penularan pandemik COVID-19 menyebabkan penyertaan di kejohanan berkenaan tertangguh.

Dalam pada itu, acara perseorangan wanita dimenangi Zenn Lim Sze Xuan dari Selangor selepas menewaskan Iman Syuhada Abdullah (Negeri Sembilan) 6-1, 6-2.

Untuk rekod, Terbuka Kuala Lumpur 2022 berjaya menarik hampir 190 pemain dari dalam dan luar negara. Seramai 20 pemain luar negara adalah dari Indonesia, Vietnam, Laos, Jepun, Belanda dan Great Britain.

Berita Harian X