Sabtu, 1 Oktober 2022 | 7:00pm
Aksi Jin Wei ketika menentang Thuy Tran pada separuh akhir Terbuka Vietnam hari ini.
Aksi Jin Wei ketika menentang Thuy Tran pada separuh akhir Terbuka Vietnam hari ini.

Jin Wei mara ke final Terbuka Vietnam

KUALA LUMPUR: Keputusan pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei menarik diri daripada Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 baru-baru ini kerana mahu memberi tumpuan kepada kejohanan antarabangsa dilihat tepat apabila dia berjaya melangkah ke final Terbuka Vietnam.

Bagaimanapun, perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Stadium Nguyen Du, Vietnam hari ini menyaksikan Jin Wei tidak diberikan laluan mudah dan dipaksa untuk bertungkus lumus sebelum menewaskan pemain Vietnam, Thi Phuong Thuy Tran dalam tempoh 52 minit.

Jin Wei yang bermula agak perlahan ketika set pertama terpaksa akur dengan kekalahan 12-21 sebelum berjaya bangkit di set kedua dengan kemenangan 21-17 sekali gus menghidupkan kembali peluangnya untuk bergelar juara dalam kejohanan kali ini.

Pemain berusia 22 tahun itu akhirnya melengkapkan kemenangan bergaya di set penentuan dengan kemenangan 21-14 dan berjaya mengesahkan tiket untuk beraksi di pentas final hari ini.

Satu lagi aksi separuh akhir yang dijadual berlangsung petang ini menyaksikan pertembungan di antara dua pemain dari Vietnam, Thi Trang Vu dengan Thuy Linh Nguyen.

Untuk rekod, Jin Wei pernah mencipta sensasi apabila menjadi pemain termuda memenangi pingat emas dalam acara badminton perseorangan wanita ketika edisi SUKMA 2014 di Perlis menewaskan pemain Selangor, Yang Li Lian.

Berita Harian X