Sabtu, 1 Oktober 2022 | 3:29pm
Michelle dilantik sebagai CEO ABM.
Michelle dilantik sebagai CEO ABM.

Michelle kembali ke BAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia melantik Michelle Chai sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Badminton Malaysia (ABM) berkuat kuasa Isnin ini.

Perkara itu diumumkan BAM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini sekali gus menyaksikan Michelle kembali bergiat dalam sukan badminton selepas pernah memegang jawatan Pengurus Besar persatuan itu dari 2017 hingga 2019.

"Sebelum ini, beliau menyertai Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) selepas memegang jawatan di BAM selama tiga tahun," menurut kenyataan dikeluarkan itu.

Michelle, 47, akan mengetuai tempat latihan skuad kebangsaan dan juga persiapannya selain bertanggungjawab dalam pengurusan dan pentadbiran ABM.

Michelle yang sebelum ini juga pernah bertugas dalam pentadbiran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persatuan Bolasepak Emiriah Arab Bersatu (UAE) mempunyai kepakaran dan pengalaman yang bakal menjadi nilai tambah kepada BAM dan pelarasan akademi.

Ketika memegang jawatan di MOM, Michele turut terbabit dalam pengurusan penyertaan kontinjen Malaysia di beberapa temasya besar seperti Sukan Olimpik Tokyo, Sukan SEA Filipina dan Sukan SEA Vietnam.

"BAM berbesar hati dengan kembalinya Michelle ke sini dan yakin, beliau mampu berdepan pelbagai cabaran dalam pengurusan ABM dan juga pemain kebangsaan," tambah kenyataan itu.

Berita Harian X