Sabtu, 1 Oktober 2022 | 11:16am
 Aksi Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo penghujung Ogos lalu. - Foto AP
Aksi Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo penghujung Ogos lalu. - Foto AP

Aaron-Wooi Yik mahu ikut jejak Ahsan-Hendra

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mahu mengikut jejak gandingan legenda Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan yang sehingga sekarang masih konsisten menghasilkan keputusan positif biarpun bergelar pasangan paling senior.

Mereka yang berada di kedudukan ranking nombor lima dunia itu menganggap Ahsan-Hendra sebagai idola.

Aaron berkata mereka mahu mencontohi aksi konsisten yang dipamerkan pasangan veteran Indonesia itu kerana sebelum ini mempunyai kekurangan dalam faktor berkenaan sehingga menyebabkan mereka sering berdepan kekecewaan sebelum bergelar juara dunia.

"Kami memang menghormati mereka sebab ketika ini dalam acara beregu, mereka adalah paling senior. Walaupun sudah lama beraksi, tetapi mereka tetap mampu raih keputusan yang konsisten.

"Soal konsisten inilah yang paling penting untuk kami sekarang bagi membolehkan kami memenangi lebih banyak kejuaraan selepas ini.

"Mereka juga pernah menasihati kami untuk kekal merendah diri dan terus bekerja keras," kata Aaron yang menjawab pertanyaan seorang peminat mengenai siapakah idola dia dan Wooi Yik ketika sesi Facebook Live menerusi akaun Persatuan Badminton Malaysia (BAM), semalam.

Bagi Wooi Yik pula, bukan mudah untuk seseorang pemain bertahan lama bersaing di pentas tertinggi seperti dibuktikan Ahsan-Hendra.

"Umur mereka sudah semakin meningkat dan sudah tentu kekuatan mereka tidak sama dengan barisan pemain muda. Namun, mereka masih boleh mengekalkan prestasi di atas gelanggang.

"Sebab itulah saya memang amat menghormati mereka. Saya rasa baik Ahsan atau Hendra, mereka saling mempercayai antara satu sama lain dan masih lagi boleh pergi jauh," katanya.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik dua kali mengecewakan idola mereka itu dalam kejohaanan utama iaitu ketika perebutan pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, tahun lalu dan terbaru menewaskan lawan itu ketika final Kejohanan Badminton Dunia juga di Tokyo, Ogos lalu.

Berita Harian X