Khamis, 1 September 2022 | 10:46am
Lee Zii Jia.
Lee Zii Jia.

Zii Jia perlu panik

KUALA LUMPUR: Apa sudah jadi Lee Zii Jia?

Itu persoalan pertama yang muncul selepas pemain badminton perseorangan profesional negara itu tumbang buat kali kedua berturut-turut dalam tempoh seminggu.

Selepas tewas kepada pemain bukan pilihan dari China, Zhao Jun Peng 19-21, 21-11, 19-21 pada pusingan ketiga Kejohanan Dunia minggu lalu, pemain ranking keempat dunia itu tunduk pula pada pusingan pertama Terbuka Jepun, semalam.

Pemain berusia 24 tahun itu kalah kepada pemain India, K Srikanth 20-22, 21-23 dalam aksi sengit dan mendebarkan yang berlangsung selama 37 minit.

Ia kekalahan pertama Zii Jia kepada pemain itu dalam tiga pertemuan selepas tidak berdepan masalah menewaskannya dalam saingan peringkat kumpulan Jelajah Dunia Final 2021, 21-19, 21-14 dan separuh akhir Terbuka Hylo 2021, 21-19, 22-20.

Kekalahan berturut-turut di Jepun itu seharusnya membuatkan Zii Jia dan pengurusannya menekan butang panik dan mencari puncanya.

Apatah lagi, dia sendiri sebelum ini mengejutkan ramai dengan tindakannya menarik diri daripada Sukan Komanwel Birmingham 2022 dengan alasan mahu membuat persiapan menghadapi Kejohanan Dunia namun gagal.

Justeru, tindakan drastik perlu dipertimbangkan termasuk menukar jurulatih, Indra Wijaya dalam usaha mengembalikan dan meningkatkan corak permainannya.

Berdasarkan rekod, daripada 11 kejohanan disertai pada kempen 2022 setakat ini, Zii Jia mempamerkan prestasi yang baik dengan memperoleh tempat ketiga di Terbuka Jerman - kejohanan pertama di bawah Indra Wijaya - dan Seluruh England sebelum meraih gelaran juara Asia di Filipina.

Momentum itu kemudian berjaya diteruskan apabila berjaya meraih gelaran di Terbuka Thailand namun graf prestasinya tampak menurun bermula di Masters Indonesia yang menyaksikan Zii Jia terkandas di suku akhir sebelum bangkit berada di pentas separuh akhir Terbuka Indonesia selepas itu.

Namun, prestasinya semakin drastik menurun di Terbuka Malaysia - selepas mengumumkan menarik diri mewakili negara di Sukan Komanwel 2022 untuk memberi tumpuan penuh kepada Kejohanan Dunia - apabila tewas di seawal di pusingan kedua di tangan Shehar Hiren Rhustavito dari Indonesia.

Sejak itu, beberapa kejohanan turut 'diketepikan' Zii Jia termasuk Masters Malaysia Julai lalu bagi membolehkan dirinya memperoleh rehat panjang, kira-kira lebih sebulan sebelum kejohanan dunia berlangsung dan percaturan itu, tampaknya tidak berhasil seperti diinginkan.

Kini, terpulang kepada Zii Jia dan dia perlu membuat keputusan terbaik untuk kariernya.

INFO

Keputusan Lee Zii Jia selepas bergelar profesional

Separuh akhir - Terbuka Jerman

Separuh akhir - Seluruh England

Juara - Kejohanan Badminton Asia

Juara - Terbuka Thailand

Suku akhir - Masters Indonesia

Separuh akhir - Terbuka Indonesia

Pusingan kedua- Terbuka Malaysia

Pusingan ketiga - Kejohanan Badminton Dunia

Pusingan pertama - Terbuka Jepun

Berita Harian X