Jumaat, 30 September 2022 | 5:36pm
Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah ketika beraksi pada Sukan Komanwel di Birmingham pada Ogos lalu. - Foto NSTP/Aswadi Alias.
Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah ketika beraksi pada Sukan Komanwel di Birmingham pada Ogos lalu. - Foto NSTP/Aswadi Alias.

Pearly-Thinaah reda jika tak layak

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah menerima dengan hati terbuka sekiranya tidak berjaya layak beraksi pada Jelajah Dunia Akhir BWF yang dijadual berlangsung di Guangzhou, China bermula 14 hingga 18 Disember ini.

Peluang tampak semakin tipis buat pasangan ranking ke-11 dunia itu untuk memburu slot beraksi di kejohanan akhir musim berkenaan selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam mengumumkan pembatalan dua kejohanan di China iaitu Terbuka China pada 29 November hingga 4 Disember ini dan Terbuka Fuzhou China (6 hingga 11 Disember).

Malah, status penyertaan mereka dalam dua kejohanan di Eropah iaitu Terbuka Denmark bermula 18 hingga 23 Oktober ini dan Terbuka Perancis (25 hingga 30 Oktober) yang masih belum pasti turut meletakkan mereka dalam situasi sukar bagi memburu tiket ke Guangzhou.

Bagi Thinaah, memandangkan Pearly masih lagi dalam proses pemulihan susulan kecederaan hamstring dialami di Terbuka Jepun awal bulan ini, dia tidak mahu mengambil risiko beraksi dalam mana-mana kejohanan dalam keadan kurang cergas.

Katanya, adalah lebih baik mereka fokus terhadap proses pemulihan dan hanya kembali menyertai kejohanan apabila sudah bersedia sepenuhnya.

"Walaupun kami terpaksa tidak menyertai beberapa kejohanan, kami sanggup lakukannya asalkan dapat kembali berada pada tahap 100 peratus bersedia. Seeloknya fokus proses pemulihan terlebih dahulu dan kita akan berjuang habis-habisan sekiranya sudah bersedia sepenuhnya," katanya.

Ketika ini, Pearly-Thinaah berada di kedudukan ranking ke-11 Jelajah Dunia Akhir dengan hanya lapan pasangan terbaik layak beraksi di kejohanan akhir musim yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak AS$1.5 juta (RM6.96 juta) itu.

Sementara itu, Pearly, berkata barisan kejurulatihan akan membuat penilaian terhadap tahap kecergasannya, minggu depan sama ada boleh beraksi atau sebaliknya pada Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis.

"Ketika ini saya masih cari keyakinan. Saya sudah mula melakukan pergerakan dalam gelanggang dan minggu depan akan cuba untuk kembali bergandingan bersama Thinaah," katanya.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky, berkata dia tidak menetapkan sasaran tinggi kepada Pearly-Thinaah sekiranya pasangan itu diberi lampu hijau beraksi di Terbuka Denmark.

Pakar beregu dari Indonesia itu menjelaskan adalah tidak realistik baginya meletakkan sasaran tinggi kepada mereka susulan keadaan terkini Pearly.

Berita Harian X