Selasa, 27 September 2022 | 8:06pm
Pemain Johor dan kebangsaan, Ng Tze Yong memenangi pingat emas acara perseorangan lelaki badminton temasya SUKMA 2022 di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, Sabtu lalu. - Foto NSTP/Aizuddin Saad.
Pemain Johor dan kebangsaan, Ng Tze Yong memenangi pingat emas acara perseorangan lelaki badminton temasya SUKMA 2022 di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, Sabtu lalu. - Foto NSTP/Aizuddin Saad.

Tze Yong kini fokus dua kejohanan di Indonesia

KUALA LUMPUR: Selepas memenangi pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2022, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong kini mengalihkan fokusnya terhadap persiapan bagi menghadapi dua kejohanan penting di Malang, Indonesia, bulan depan.

Pemain berusia 22 tahun itu dijadual beraksi dalam saingan Cabaran Antarabangsa Indonesia bermula 11 hingga 16 Oktober diikuti Masters Indonesia 18 hingga 23 Oktober.

Kedua-dua kejohanan berkenaan dianggap penting buat Tze Yong dalam misinya untuk menembusi kelompok ranking 30 terbaik dunia pada hujung tahun ini.

Ketika ini, pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu berada di kedudukan ranking ke-36 dunia.

"Saya akan memberikan fokus sepenuhnya terhadap kedua-dua kejohanan berkenaan. Saya harap dapat mempamerkan peningkatan dalam permainan saya apabila beraksi di kedua-dua kejohanan itu nanti," kata Tze Yong.

Selepas aksi di Malang, Tze Yong akan berlepas ke Eropah dengan dia berharap dapat mara ke undian utama di Terbuka Perancis yang bermula 25 hingga 30 Oktober sebelum beraksi di Terbuka Hylo di Jerman pada 1 hingga 6 November.

Dalam pada itu, pemain kelahiran Johor itu percaya dia dan rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan mampu meningkatkan prestasi mereka sekiranya terus bekerja keras dalam latihan.

"Apa yang paling penting adalah latihan kami. Jika kami dapat memberikan yang terbaik dan memberikan persaingan antara satu sama lain dalam latihan, kami boleh melihat peningkatan prestasi kami," katanya.

Selain memenangi perak di Birmingham dan membantu skuad negara menjuarai Kejohanan Berpasukan Asia pada Februari, antara pencapaian terbaik Tze Yong tahun ini adalah mara ke separuh akhir Terbuka India, Januari lalu.

Berita Harian X