X
Ahad, 21 Ogos 2022 | 7:12pm
Aksi beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah pada Sukan Komanwel 2022 di NEC, Birmingham, baru-baru ini. - Foto NSTP/Aswadi Alias.
Aksi beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah pada Sukan Komanwel 2022 di NEC, Birmingham, baru-baru ini. - Foto NSTP/Aswadi Alias.

Tiada tekanan buat Pearly-Thinaah pada kejohanan dunia

KUALA LUMPUR: Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah tidak diberikan sebarang tekanan apabila turun menggalas cabaran negara di Kejohanan Badminton Dunia di Jepun, bermula, esok.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky hanya mahu pasangan ranking ke-11 dunia itu memberikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan yang diharungi dan menikmati aksi mereka di Tokyo.

"Untuk Pearly-Thinaah saya biarkan mereka untuk menikmati permainan mereka. Saya tidak mahu memberikan sebarang tekanan," katanya.

Pearly-Thinaah mendapat tonik terbaik dalam misi menjadi beregu wanita pertama negara memenangi pingat di Kejohanan Dunia selepas berjaya memenangi emas saingan individu di Sukan Komanwel 2022 di Birmingham selain membantu skuad negara muncul juara acara berpasukan campuran.

Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah memenangi pingat dalam acara beregu wanita pada Kejohanan Dunia sebelum ini.

Bagaimanapun, Pearly-Thinaah berdepan laluan mencabar bagi memenangi pingat di Tokyo apabila dua pasangan kelompok lima terbaik dunia iaitu beregu nombor lima, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun dan pasangan Korea Selatan, Kong Hee Yong-Kim So Yeong yang juga gandingan nombor empat dunia dijangka menanti mereka jika layak ke pusingan ketiga dan suku akhir.

Mereka yang mendapat `bye' di pusingan pertama akan membuka tirai kempen menentang pemenang perlawanan antara rakan senegara, Valeree Siow-Low Yeen Yuan atau Treesa Jolly-Gayatri Gopichand dari India di pusingan kedua.

Pearly-Thinaah bagaimanapun berjaya menewaskan Treesa-Gayatri dua kali di Birmingham.

Berita Harian X