Rabu, 27 Julai 2022 | 3:26pm
Peng Soon dan Yee See menjalani latihan bersama Rexy Mainaky di Birmingham. - Foto MOM
Peng Soon dan Yee See menjalani latihan bersama Rexy Mainaky di Birmingham. - Foto MOM

Peluang terakhir Peng Soon

KUALA LUMPUR: Walaupun tampil dengan gandingan berbeza, ia tidak menghalang pemain beregu campuran berpengalaman negara, Chan Peng Soon untuk merealisasikan impian bagi merangkul pingat emas pertamanya dalam saingan individu di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Selepas berpisah dengan Goh Liu Ying hujung tahun lalu, pemain berusia 34 tahun itu meneruskan perjuangannya memburu emas di temasya kedua terbesar dunia berkenaan bersama pemain muda, Cheah Yee See.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Peng Soon di Sukan Komanwel adalah meraih gangsa pada edisi 2010 di New Delhi bersama Liu Ying.

Bagaimanapun, dia berjaya membantu skuad badminton negara meraih emas dalam acara berpasukan campuran di New Delhi dan di Glasgow pada 2014.

"Memang saya tidak pernah memenangi emas dalam saingan individu, paling bagus adalah meraih gangsa. Jadi, saya harap kali ini boleh dapat pencapaian yang lebih baik.

"Saya tahu bukan mudah untuk memenangi emas tetapi saya akan bekerja keras dan melakukan yang terbaik bagi mencapai matlamat itu," kata pemenang perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu.

Selain Peng Soon-Yee See, cabaran Malaysia dalam saingan beregu campuran turut akan digalas pasangan profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang diletakkan sebagai pilihan pertama di temasya itu.

Peng Soon turut akan beraksi dalam acara berpasukan campuran dan beregu lelaki bergandingan bersama Kian Meng.

"Selepas dua hari ini tiba di sini (Birmingham) semuanya dalam keadaan baik, cuma masih ada sedikit 'jet lag' namun bukan masalah besar. Masih ada masa untuk kami menyesuaikan diri," kata Peng Soon.

Cabaran Malaysia di Birmingham akan bermula dengan acara berpasukan campuran yang menyaksikan skuad negara dijadual bertemu Zambia dalam aksi sulung Kumpulan 4 Jumaat ini.

Berita Harian X