Selasa, 26 Julai 2022 | 7:30pm
Pearly-Thinaah optimis mampu rampas emas dari India dalam acara berpasukan campuran pada Sukan Komanwel Birmingham.
Pearly-Thinaah optimis mampu rampas emas dari India dalam acara berpasukan campuran pada Sukan Komanwel Birmingham.

Misi rampas emas

KUALA LUMPUR: Skuad badminton negara tampil dengan misi untuk merampas kembali pingat emas dalam acara berpasukan campuran pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang akan membuka tirai secara rasmi, awal pagi Jumaat ini.

Malaysia yang mendominasi saingan berpasukan campuran sejak edisi 2006 terpaksa akur terlepas emas di tangan India apabila tewas dalam aksi final empat tahun lalu di Gold Coast.

Sebagai rekod, ia adalah kali pertama India berjaya memenangi emas dalam acara berkenaan di temasya kedua terbesar dunia itu.

Kali ini, dengan status selaku juara bertahan, India sekali lagi diletakkan sebagai pilihan selain dilihat memiliki kekuatan yang seimbang untuk acara perseorangan dan beregu.

Bagaimanapun, pemain beregu wanita negara, M Thinaah optimis tiada apa yang mustahil untuk Malaysia kembali menggenggam emas sekiranya dia dan rakan sepasukan dapat mempamerkan prestasi terbaik masing-masing pada hari pertandingan.

"Saya fikir semua pasukan ada peluang. Kami pergi sebagai satu pasukan dan bermain sebagai satu pasukan. Kalah atau menang sebagai satu pasukan," katanya yang bergandingan bersama Pearly Tan.

Ketiadaan pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia yang menarik diri pada temasya kali ini, sandaran kini diletakkan di atas bahu barisan pemain beregu untuk menjelmakan tiga mata dalam setiap perlawanan yang diharungi.

Selain Thinaah-Pearly yang beraksi dalam acara beregu wanita, skuad negara turut mempertaruhkan gandingan beregu lelaki utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selain dua beregu campuran, Chan Peng Soon-Cheah Yee See dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Tempat Zii Jia digantikan oleh Ng Tze Yong manakala juara remaja dunia dua kali, Goh Jin Wei menggalas cabaran negara dalam acara perseorangan wanita.

Bagi Thinaah, biarpun barisan pemain beregu kini diletakkan sebagai sandaran bagi mengutip mata namun dia tidak menganggap ia sebagai tekanan tambahan buat mereka.

"Bagi saya, ia bergantung kepada siapa yang beraksi lebih baik pada hari perlawanan. Saya fikir kami tidak mahu memikirkan mengenai perkara itu (ketiadaan Zii Jia) kerana yang paling penting kita kena sokong sebagai satu pasukan, menang atau kalah kena sokong antara satu sama lain," katanya.

Tze Yong dan Jin Wei bagaimanapun tetap dilihat berpeluang untuk mencipta kejutan sekali gus menyumbang mata buat pasukan berdasarkan prestasi semasa mereka.

Di Terbuka Singapura dua minggu lalu, Tze Yong berjaya mengejutkan dua pemain ranking yang lebih tinggi dari Hong Kong - Ng Ka Long (ke-12) dan Lee Cheuk Yiu (ke-15) di pusingan pertama dan kedua sebelum dia tewas di tangan pemain nombor enam dunia dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting di suku akhir.

Jin Wei pula dalam kejohanan terakhirnya di Terbuka Taiwan berjaya mara sehingga suku akhir sebelum tewas kepada pemain Jepun, Saena Kawakami.

Pada saingan kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan 4 bersama Afrika Selatan, Jamaica dan Zambia dengan dua pasukan teratas layak ke pusingan kalah mati.

Skuad negara akan membuka tirai kempen menentang Zambia Jumaat ini.

Berita Harian X