Rabu, 29 Jun 2022 | 5:49pm

Zii Jia lolos

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menepati ramalan apabila tidak berdepan masalah untuk meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Malaysia, sebentar tadi.

Pemain nombor lima dunia itu mara selepas mengatasi wakil Ireland, Nhat Nguyen 21-15, 21-11 dalam aksi pusingan pertama yang berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil.

Kejayaan itu menyaksikan Zii Jia melebarkan rekod kemenangan ke atas lawan berkenaan selepas turut menang dalam pertemuan pertama mereka di Terbuka Hylo di Jerman, tahun lalu.

Juara Asia itu akan berdepan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.

Dua kejohanan terakhir Zii Jia sebelum ini di Jakarta menyaksikan dia mara sehingga suku akhir Masters Indonesia sebelum terkandas di separuh akhir Terbuka Indonesia.

Bulan lalu, Zii Jia berjaya merekodkan dua gelaran apabila mengungguli saingan Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Manila, Filipina dan Terbuka Thailand di Bangkok.

Aksi Lee Zii Jia ketika menundukkan Nhat Nguyen pada pusingan pertama Terbuka Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini. - FOTO ASWADI ALIAS
Aksi Lee Zii Jia ketika menundukkan Nhat Nguyen pada pusingan pertama Terbuka Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini. - FOTO ASWADI ALIAS
Berita Harian X