Selasa, 28 Jun 2022 | 3:47pm
Aksi beregu campuran Malaysia, Goh Soon Huat-Shevon Lai ketika menentang Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pada pusingan pertama Terbuka Malaysia di Axiata Arena hari ini. - NSTP/ASWADI ALIAS.
Aksi beregu campuran Malaysia, Goh Soon Huat-Shevon Lai ketika menentang Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pada pusingan pertama Terbuka Malaysia di Axiata Arena hari ini. - NSTP/ASWADI ALIAS.

Soon Huat-Shevon singkir rakan sepelatih

KUALA LUMPUR: Gandingan beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang masih dalam proses pemulihan daripada insiden keracunan makanan di Indonesia baru-baru ini menunjukkan semangat juang tinggi pada saingan Terbuka Malaysia 2022, hari ini.

Soon Huat-Shevon mengatasi rakan sepelatih yang juga pilihan ketujuh kejohanan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 21-18, 19-21, 21-18 dalam tempoh sejam pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil.

"Bagi kami ia (insiden keracunan makanan) sangat mencabar. Ini kerana keadaan (kesihatan) Soon Huat sangat teruk di Indonesia dan ia mengambil masa untuk pulih.

"Malah sekarang pun, masih ada kesakitan di bahagian perut. Seperti saya pula, saya masih 'diarrhea'. Ia agak mencabar kerana seperti badan saya tidak menerima nutrisi sepatutnya dan mudah letih,' kata Shevon.

Soon Huat-Shevon dijadual bertemu pasangan Korea Selatan, Kim Wo Ho-Jeong Na Eun yang sebelum itu menewaskan gandingan India, Venkat Gaurav Prasad-Juhi Dewangan 21-15, 21-9 pada pusingan kedua.

Mengulas mengenai kemenangan pertama yang terpaksa menemui rakan sepelatih, Kian Meng-Pei Jing, Shevon mengakui agak sedih.

"Namun, saya rasa setiap kemenangan amat penting untuk kami mara ke pusingan seterusnya dan ia memberikan motivasi. Kami berdua mahu membawa bendera Malaysia ke peringkat lebih tinggi."

Pada kejohanan berturut-turut di Indonesia baru-baru ini, Soon Huat-Shevon tewas seawal pusingan pertama Masters Malaysia di tangan gandingan Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran 17-21, 16-21.

Mereka kemudian tewas di pusingan kedua Terbuka Indonesia di tangan gandingan senegara, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei 19-21, 19-21 dalam tempoh 39 minit.

Berita Harian X