Sabtu, 25 Jun 2022 | 3:18pm
Zii Jia melakukan kejutan apabila menarik diri daripada beraksi di Sukan Komanwel.
Zii Jia melakukan kejutan apabila menarik diri daripada beraksi di Sukan Komanwel.

James persoal semangat kenegaraan Zii Jia

KUALA LUMPUR: Datuk James Selvaraj mempersoalkan semangat kenegaraan dalam diri jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia selepas dia memutuskan untuk tidak menyertai Sukan Komanwel Birmingham 2022 bagi memberikan fokus kepada Kejohanan Dunia.

Sukan Komanwel akan berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos depan manakala Kejohanan Dunia dua minggu kemudian iaitu dari 22 hingga 28 Ogos.

James yang juga bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), berkata sebagai pemain Malaysia, Sukan Komanwel yang berlangsung empat tahun sekali seharusnya menjadi keutamaan berbanding kejohanan individu.

"Ketika dia mahu keluar daripada BAM dan kena gantung dua tahun, banyak pihak tidak setuju. Apabila BAM sudah tarik balik penggantungan, sekarang BAM perlukan khidmat dia, dia pula tidak mahu bermain.

"Jadi, di mana semangat kenegaraan dia? Beraksi di sukan temasya untuk negara lagi penting atau kejohanan individu?

"Memang Kejohanan Dunia penting tetapi dia juga mesti kena faham yang bermain dan memenangi pingat emas untuk negara di Sukan Komanwel juga penting.

"BAM sudah memberikan sokongan yang banyak sejak dia remaja dan sekarang bila BAM tiada pemain dan memerlukan pertolongan dia, dia pula putuskan untuk tidak bermain. Jadi, saya berpandangan ini adalah sesuatu yang tidak baik," kata James kepada BH Sukan.

Isnin lalu, Zii Jia yang juga juara Asia mengesahkan dia menarik diri daripada beraksi di Sukan Komanwel bagi membolehkan dia memberikan fokus yang lebih terhadap persiapan bagi menghadapi Kejohanan Dunia.

Katanya, keputusan itu dibuat disebabkan faktor keadaan tubuh badannya selepas beraksi dalam banyak kejohanan berturut-turut yang menyaksikan dia tidak cukup rehat.

Datuk James Selvaraj.
Datuk James Selvaraj.

Mengulas mengenai perkara itu, James berpandangan ia adalah alasan yang tidak kukuh kerana pemain negara lain turut menghadapi situasi yang sama.

"Kalau dia bermain dalam kejohanan berturut-turut, pemain lain juga sama. Adakah pemain India akan buat begitu dengan memberi alasan bermain dalam banyak kejohanan berturut-turut sekali gus mereka tarik diri daripada Sukan Komanwel. Saya percaya mereka tidak lakukan begitu," katanya.

Sebagai perbandingan, legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei hanya sekali terpaksa melupakan aksi di Sukan Komanwel sepanjang kerjayanya iaitu pada edisi 2014 di Glasgow kerana mengalami kecederaan.

Bekas pemain nombor satu dunia itu yang tiga kali beraksi di pentas Sukan Komanwel berjaya memenangi emas perseorangan lelaki dalam ketiga-tiga penampilannya itu bermula edisi 2006 di Melbourne, 2010 di New Delhi dan 2018 di Gold Coast.

Di Melbourne dan New Delhi dia turut membantu skuad badminton negara meraih emas dalam acara berpasukan campuran manakala di Gold Coast perak.

Ketiadaan Zii Jia kali ini menyaksikan BAM memilih pemain muda, Ng Tze Yong bagi menggalas cabaran skuad badminton negara dalam acara perseorangan lelaki.

Berita Harian X