Khamis, 23 Jun 2022 | 8:34pm
Lee Zii Jia ketika beraksi pada Terbuka Indonesia di Jakarta, minggu lalu. - Foto AFP.
Lee Zii Jia ketika beraksi pada Terbuka Indonesia di Jakarta, minggu lalu. - Foto AFP.

Siapa kata pemain profesional tak boleh cari makan?

KUALA LUMPUR: Siapa kata pemain badminton profesional di Malaysia tidak boleh 'cari makan'?

Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia membuktikan kerjaya profesional mampu menjana pendapatan lumayan jika 'disulami' dengan kerja keras, komitmen dan disiplin yang tinggi.

Lima bulan selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), pemain nombor lima dunia itu setakat ini sudah meraih pendapat sebanyak AS$65,630 (RM289,132) menerusi pencapaian dalam lima kejohanan individu yang disertainya.

Kejuaraan yang diraih Zii Jia, 24, di Terbuka Thailand, bulan lalu menyaksikan dia membawa pulang AS$27,000 (RM118, 867) - tertinggi setakat ini.

Poket pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu turut 'kembung' menerusi pencapaiannya mara ke separuh akhir dalam empat kejohanan - Terbuka Jerman, Seluruh England, Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia.

Di Jerman, Zii Jia meraih AS$2,610 (RM11,490) manakala di Seluruh England dia membawa pulang AS$14,000 (RM61,635) sementara Masters Indonesia dia menerima AS$ 5,220 (RM22,981) dan Terbuka Indonesia AS$16,800 (RM73,962).

Hadiah kemenangan diraih Zii Jia itu boleh dianggap 'bonus' buat dirinya memandangkan dia turut menerima tajaan lumayan daripada syarikat peralatan sukan terkemuka dari Taiwan, Victor yang dilaporkan bernilai AS$400,000 (RM1.76 juta) setahun untuk tempoh tujuh tahun.

Kerjaya Zii Jia dijangka terus 'bermandikan' wang berdasarkan prestasi semasanya yang dilihat semakin konsisten dan bukan sesuatu yang mustahil untuk dia bergelar pemain nombor satu dunia suatu hari nanti.

Kehebatan pemain negara itu turut diakui pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari Denmark, Viktor Axelsen yang berdepan detik 'cemas' sebelum memenangi aksi separuh akhir antara mereka di Terbuka Indonesia, Sabtu lalu.

Sejurus tamat perlawanan, Axelsen mengakui ia antara perlawanan 'paling gila' dalam kerjayanya apabila diberi tentangan cukup sengit oleh Zii Jia sebelum menang 19-21, 21-11, 23-21 untuk dia melangkah ke final dan seterunya muncul juara dengan menewaskan wakil China, Zhou Jun Peng.

Jurulatih Zii Jia, Indra Wijaya, berkata masih ada ruang yang perlu diperbaiki oleh anak didiknya bagi menyaingi Axelsen yang ketika ini dilabel sebagai pemain yang sukar untuk ditewaskan.

"Mereka bermain bermati-matian dan menampilkan permainan yang sangat baik. Siapa yang menang memang itu adalah rezekinya.

"Saya cukup berpuas hati dengan penampilan yang baik daripada Zii Jia meskipun dia kalah. Harap dia boleh terus membawa nilai positif ini di kejohanan seterusnya.

"Kalau tanya jurang antara Zii Jia dengan Axelsen, saya fikir Zii Jia masih perlu lagi meningkatkan prestasinya. Axelsen nyata sudah lebih konsisten," katanya.

Peminat badminton tempatan dijangka disajikan dengan satu lagi permainan menarik daripada Zii Jia apabila pemain itu beraksi di Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil bermula 28 Jun hingga 3 Julai ini.

Zii Jia akan membuka tirai kempen menentang pemain Perancis, Toma Junior Popov di pusingan pertama dan jika semuanya berjalan lancar, dia kemungkinan bakal membuat perhitungan sekali dengan Axelsen andai kedua-duanya melangkah ke final.

INFO

Nama: Lee Zii Jia

Ranking: 5

Hadiah Kemenangan 2022

- Terbuka Jerman: Separuh akhir, AS$2,610 (RM11,490)

- Seluruh England: Separuh akhir, AS$14,000 (RM61,635)

- Terbuka Thailand - Juara, AS$27,000 (RM118, 867.50)

- Masters Indonesia - Separuh akhir, AS$5,220 (RM22,981.05)

- Terbuka Indonesia - Separuh akhir, AS$16,800 (RM73,962)

Berita Harian X