Khamis, 23 Jun 2022 | 4:38pm
Pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong. - Foto ihsan FB BAM.
Pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong. - Foto ihsan FB BAM.

BAM pilih Tze Yong ganti Zii Jia

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memilih Ng Tze Yong untuk menggantikan jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang menarik diri daripada beraksi pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang dijadual berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Wong Choong Hann berkata walaupun Tze Yong yang berada di kedudukan ranking ke-48 dunia bukanlah pencabar utama pingat emas di temasya berkenaan tetapi percaya pemain berusia 22 tahun itu turut berpotensi untuk mencipta kejutan.

"Saya harap dia menggunakan peluang saat akhir ini dengan sebaiknya dan mempamerkan prestasi terbaiknya. Kami akan persiapkan dia bagi menghadapi Sukan Komanwel kali ini.

"Tekanan itu pasti ada untuk dia kerana acara perseorangan memang menjadi sandaran untuk memenangi emas demi Malaysia.

"Macam mana sekali pun, saya percaya Tze Yong akan berikan yang terbaik untuk acara perseorangan lelaki," kata Choong Hann ketika ditemui selepas lawatan Timbalan Ketua Kontinjen negara, Gerard Monteiro ke sesi latihan skuad badminton di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

Semalam, Zii Jia yang juga juara Asia mengesahkan dia menarik diri daripada beraksi di Sukan Komanwel bagi membolehkan dia memberikan fokus yang lebih terhadap persiapan bagi menghadapi Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun, yang berlangsung 22 hingga 28 Ogos.

Katanya, keputusan itu dibuat disebabkan faktor keadaan tubuh badannya selepas beraksi dalam banyak kejohanan berturut-turut yang menyaksikan dia tidak cukup rehat.

Bagaimanapun, dia akan cuba sedaya upaya untuk memastikan dia berada keadaan terbaik bagi beraksi di Terbuka Malaysia yang akan bermula 28 Jun hingga 3 Julai ini dan Masters Malaysia 5 hingga 10 Julai.

Zii Jia baru sahaja pulang dari Jakarta, Isnin lalu selepas mengharungi dua kejohanan berturut-turut - Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia.

Sementara itu, ditanya sama ada Zii Jia ada mengadakan perbincangan dengan barisan kejurulatihan BAM sebelum mengumumkan keputusannya menarik diri daripada aksi di Sukan Komanwel, Choong Hann berkata: "Saya pun ada terbaca semalam dan dia mengucapkan terima kasih kepada MSN (Majlis Sukan Negara) dan MOM (Majlis Olimpik Malaysia).

"Saya fikir dari segi itu lebih baik anda rujuk kepada mereka, itu adalah yang lebih baik. Dia pun tiada sebut mengenai kita," katanya.

Berita Harian X