Isnin, 20 Jun 2022 | 6:25pm
Aksi Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik ketika menentang wakil China, Liu Yu Chen dan Ou Xuan Yi pada saingan separuh akhir Terbuka Indonesia di Jakarta, minggu lalu. - Foto EPA.
Aksi Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik ketika menentang wakil China, Liu Yu Chen dan Ou Xuan Yi pada saingan separuh akhir Terbuka Indonesia di Jakarta, minggu lalu. - Foto EPA.

Peluang Aaron-Wooi Yik akhiri kemarau gelaran

KUALA LUMPUR: Saingan badminton Terbuka Malaysia minggu depan dianggap pentas terbaik buat beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakhiri kemarau kejuaraan mereka sejak digandingkan pada 2017.

Pasangan nombor tujuh dunia itu terus kempunan bagi merangkul gelaran pertama di pentas antarabangsa apabila ditunjukkan jalan keluar pada separuh akhir Terbuka Indonesia, di Jakarta, Sabtu lalu.

Aaron-Wooi Yik terpaksa akur apabila tewas di tangan pasangan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 18-21, 13-21 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Istora Senayan.

Seminggu sebelum itu, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 berkenaan tersingkir di suku akhir Masters Indonesia.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, berkata Aaron-Wooi Yik perlu melipat gandakan usaha bagi menyerlahkan potensi sebenar mereka di dalam gelanggang.

"Motivasi bagi muncul juara harus datang daripada diri mereka sendiri. Sebagai jurulatih, saya hanya boleh membantu tetapi selebihnya pemain yang perlu menunjukkan usaha mereka di dalam gelanggang.

"Mereka perlu percaya dengan kemampuan diri sendiri dan lebih positif dalam gelanggang. Sama ada mereka bermain dengan baik atau sebaliknya yang paling penting adalah usaha," kata Rexy.

Pencapaian terbaik kedua-dua pemain itu setakat ini adalah lapan kali muncul naib juara termasuk pada saingan Kejohanan Badminton Asia, bulan lalu, Terbuka Thailand 2020 dan Seluruh England 2019.

Misi mereka untuk menamatkan kemarau kejuaraan di Terbuka Malaysia yang akan bermula 28 Jun hingga 3 Julai ini bagaimanapun berdepan laluan getir apabila beberapa pasangan utama dunia berada di laluan untuk merealisasikan matlamat berkenaan termasuklah beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan (Indonesia), He Ji Ting-Zhou Hou Dong (China), Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana (Indonesia) dan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (Denmark).

Aaron-Wooi Yik akan membuka tirai saingan menentang beregu Jepun, Akira Koga-Taichi Saito pada aksi pusingan pertama.

Berita Harian X