Ahad, 19 Jun 2022 | 5:10pm
Aksi sengit jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia (kiri) ketika berdepan dengan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dalam saingan separuh akhir Terbuka Indonesia 2022 di Stadium Badminton Istora Senayan, Jakarta semalam. Zii Jia tewas 21-19 11-21 23-21. - Foto BERNAMA.
Aksi sengit jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia (kiri) ketika berdepan dengan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dalam saingan separuh akhir Terbuka Indonesia 2022 di Stadium Badminton Istora Senayan, Jakarta semalam. Zii Jia tewas 21-19 11-21 23-21. - Foto BERNAMA.

Zii Jia kini fokus tiga kejohanan berturut-turut

KUALA LUMPUR: Tiga kejohanan berturut-turut termasuk Terbuka Malaysia dan Masters Malaysia menjadi fokus seterusnya buat jaguh perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia selepas tewas di separuh akhir Terbuka Indonesia di Jakarta, semalam.

Zii Jia yang tewas di tangan pemain di ranking pertama dunia dari Denmark, Viktor Axelsen 21-19, 11-21, 23-21 walaupun merumuskan penyertaannya di Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia sebagai tidak begitu teruk, namun baginya dia harus pantas mempersiapkan diri bagi menghadapi kejohanan akan datang.

"Tidak begitu teruk kerana saya berada di suku akhir (Masters Indonesia) dan di separuh akhir (Terbuka Indonesia)," kata Zii Jia. "Ada tiga lagi kejohanan berturut-turut selepas ini dan saya perlu mempersiapkan diri."

Pada perlawanan menentang Axelsen di Stadium Istora Senayan, Jakarta semalam, Zii Jia terpaksa akur dengan kekuatan lawannya itu meskipun sudah memberikan saingan cukup sengit dalam perlawanan yang berlangsung selama 1 jam 10 minit itu.

"Saya fikir Axelsen berada dalam prestasi terbaiknya dan hampir semua pemain tidak boleh menewaskannya ketika ini. Saya meletakkan usaha dan fokus dalam perlawanan. Apapun, saya fikir, saya masih bermain dengan baik hanya beberapa perkara perlu diusahakan dan diperbaiki lagi.

"Daripada sudut mentaliti, dia bersiap sedia sepenuhnya dan mentaliti dia begitu kukuh ketika ini. Dia mempunyai fokus 100 peratus dalam gelanggang dan disebabkan itu ramai lawan yang tidak boleh menewaskannya," katanya.

Zii Jia dijadual menyertai Terbuka Malaysia 2022 dari 28 Jun hingga 3 Julai ini dengan pilihan kelima kejohanan itu bakal bertemu Toma Junior Popov dari Perancis pada pusingan pertama.

Pemain dari Alor Setar berusia 24 tahun itu kemudian dijadual menyertai Masters Malaysia yang bakal berlangsung dari 5 hingga 10 Julai ini manakala Terbuka Singapura pada 12 hingga 17 Julai.

Berita Harian X