Ahad, 19 Jun 2022 | 5:09pm
Aksi Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik ketika menentang beregu China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi saingan separuh akhir Terbuka Indonesia di Jakarta semalam. Gandingan negara tewas Yi 18-21, 13-21. - Foto EPA.
Aksi Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik ketika menentang beregu China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi saingan separuh akhir Terbuka Indonesia di Jakarta semalam. Gandingan negara tewas Yi 18-21, 13-21. - Foto EPA.

Aaron-Wooi Yik enggan hampakan peminat di Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik enggan menghampakan peminat tempatan pada penampilan mereka di Terbuka Malaysia 2022 yang dijadual berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil dari 28 Jun hingga 3 Julai ini.

Kedua-duanya pasti mahu menjelmakan sesuatu yang boleh membuatkan peminat mereka 'tersenyum lebar', apatah lagi sudah dua tahun kejohanan ini tidak dipertandingkan susulan penularan pandemik COVID-19.

"Sudah lama tidak bermain di (Terbuka) Malaysia, lebih kurang dua tahun dan saya sangat teruja. Namun dalam masa sama, saya tidak mahu mengecewakan peminat di Malaysia dan akan lakukan yang terbaik."

Aaron-Wooi Yik yang sedang memburu kejuaraan pertama musim ini tewas pada aksi separuh akhir Terbuka Indonesia semalam di tangan pasangan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 18-21, 13-21.

Ia adalah pertemuan pertama antara mereka dan bagi Aaron, prestasinya di gelanggang separuh akhir di Stadium Istora Senayan, Jakarta itu disifatkan sebagai satu permainan yang berada di luar jangkaannya.

"Satu perlawanan yang buruk bagi saya. Apabila memasuk gelanggang banyak kesilapan dilakukan. Saya cuba bertenang tetapi setiap kali memasuki separuh akhir, saya seakan lebih terburu-buru dalam gelanggang dan ia menyebabkan banyak kesilapan dilakukan," kata Aaron yang turut dijadual menyertai Masters Malaysia dari 5 hingga 10 Julai nanti.

Pada musim ini, pencapaian terbaik Aaron-Wooi Yik adalah menyertai pentas final Kejohanan Badminton Asia di Filipina pada Mei lalu namun tewas di tangan pasangan Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan 21-23, 10-21.

Berita Harian X