Jumaat, 17 Jun 2022 | 8:22pm
Jaguh perseorangan negara yang juga juara Asia, Lee Zii Jia mara ke separuh akhir Terbuka Indonesia selepas menewaskan juara dunia, dari Singapura, Loh Kean Yew dalam tiga set pada peringkat suku akhir Terbuka Indonesia di Istora Senayan, Jakarta, sebentar tadi. - Foto ihsan FB BAM.
Jaguh perseorangan negara yang juga juara Asia, Lee Zii Jia mara ke separuh akhir Terbuka Indonesia selepas menewaskan juara dunia, dari Singapura, Loh Kean Yew dalam tiga set pada peringkat suku akhir Terbuka Indonesia di Istora Senayan, Jakarta, sebentar tadi. - Foto ihsan FB BAM.

Zii Jia atasi juara dunia, mara separuh akhir

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia membuktikan dirinya adalah juara yang sebenar selepas menyingkirkan bintang Singapura, Loh Kean Yew pada aksi suku akhir Terbuka Indonesia di Jakarta, sebentar tadi.

Pertembungan kedua-dua pemain itu kali ini dianggap pertarungan antara dua juara dengan Zii Jia memegang status sebagai juara Asia manakala Kean Yew yang berasal dari Pulau Pinang sebelum mendapat kerakyatan Singapura ketika berusia 12 tahun muncul juara dunia tahun lalu.

Bagaimanapun, watak Zii Jia sebagai juara lebih menyerlah apabila dia merekodkan kemenangan 21-18, 16-21, 22-20 ke atas Kean Yew dalam pertarungan selama 65 minit untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir.

"Saya bernasib baik ketika memenangi mata terakhir. Saya gembira dengan kemenangan ini terutama selepas Kean Yew mendapat semula tahap keyakinannya, bermula kejohanan terakhir sehingga kejohanan ini dia bermain dengan sangat baik.

"Kami mempunyai corak permainan yang sama dan kekuatan kami adalah dari aspek menyerang. Faktor kemenangan saya hari ini adalah kekal fokus dan kurangkan buat kesilapan mudah terutama di beberapa mata terakhir," kata Zii Jia sejurus tamat perlawanan.

Pemain nombor lima dunia itu akan menentang pemenang perlawanan antara pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen dengan Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia bagi merebut tempat ke pentas final, esok.

Sementara itu, keajaiban berlaku kepada beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila merekodkan kemenangan 'saat akhir' untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.

Lawan mereka, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan dari Indonesia di ambang kemenangan apabila mendahului 20-18 di set ketiga namun kecederaan lutut dialami Yeremia membolehkan Aaron-Wooi Yik menyamakan kedudukan seterusnya meraih mata kemenangan.

Sebelum itu, Aaron-Wooi Yik menang set pertama 21-14 tetapi Pramudya-Yeremia bangkit untuk mengheret perlawanan ke aksi penentuan apabila menang set kedua 21-12.

"Secara jujurnya, apa yang saya boleh katakan mereka sepatutnya menang hari ini. Ketika mereka mendahului 20-18 (set ketiga), kami merasakan 99.99 peratus kami akan kalah.

"Malangnya, Yeremia mengalami kecederaan lutut. Tidak banyak yang kami boleh perkatakan mengenai perlawanan hari ini.

"Kami perlu kekal fokus bagi menghadapi perlawanan separuh akhir esok dan mengharapkan tuah kali ini memihak kepada kami," kata Aaron selepas tamat perlawanan.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu akan berdepan pemenang perlawanan antara beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto dengan pasangan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi bagi perebutan tempat ke pentas final, esok.

Dalam saingan beregu campuran, perjuangan pasangan negara, Chen Tang Jie-Valaree Siow berakhir selepas tewas di tangan Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping dari China 12-21, 14-21.

Berita Harian X