Jumaat, 17 Jun 2022 | 6:53pm
M Thinaah (kiri) dan gandingannya, Pearly Tan terkandas pada aksi pusingan kedua Terbuka Indonesia, semalam. - Foto ihsan FB BAM.
M Thinaah (kiri) dan gandingannya, Pearly Tan terkandas pada aksi pusingan kedua Terbuka Indonesia, semalam. - Foto ihsan FB BAM.

Thinaah perlu miliki 'pukulan membunuh' untuk terus bersaing

KUALA LUMPUR: Pemain beregu wanita negara, M Thinaah perlu memiliki 'pukulan membunuh' untuk terus bersaing dengan kelompok utama dunia.

Perkara itu disuarakan Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky selepas menyaksikan Thinaah dan pasangannya, Pearly Tan terkandas di pusingan kedua Terbuka Indonesia, semalam.

Thinaa-Pearly dilihat masih bergelut untuk kekal konsisten apabila terpaksa akur dengan kekalahan di tangan pilihan keempat dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota 19-21, 12-21 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Istora Senayan.

Minggu lalu, pasangan ranking ke-10 dunia itu mara sehingga ke separuh akhir Masters Indonesia sebelum tewas kepada wakil tuan rumah, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 23-21, 14-21, 14-21.

Bagi Rexy, masih banyak kerja rumah yang perlu dilakukan kedua-dua pemain itu untuk membolehkan mereka kekal konsisten menjadi pencabar kepada pasangan utama dunia yang lain.

"Thinaah-Pearly perlu menguatkan lagi tahap fizikal mereka selain memperbaiki pergerakan di dalam gelanggang agar menjadi lebih sempurna. Thinaah juga perlu mencipta 'pukulan membunuh' (kill shots) bagi mengutip mata," kata Rexy.

Juara Terbuka Switzerland 2021 itu berpeluang menebus kekecewaan di Jakarta apabila beraksi dalam saingan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil bermula 28 Jun hingga 3 Julai ini.

Bagaimanapun, pasangan berkenaan berdepan laluan berliku apabila membuka tirai kempen menentang beregu China, Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting pada aksi pusingan pertama.

Jika menang, pilihan ketujuh dari Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai dijangka menanti mereka di pusingan kedua.

Berita Harian X