Jumaat, 17 Jun 2022 | 4:21pm
Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei. - Foto ihsan FB BAM
Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei. - Foto ihsan FB BAM

Beregu campuran negara terkandas di suku akhir

KUALA LUMPUR: Perjuangan beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei dalam saingan Terbuka Indonesia berakhir selepas tersingkir pada peringkat suku akhir, di Jakarta, hari ini.

Pasangan yang baru digandingkan hujung bulan lalu itu terpaksa akur, apabila tewas di tangan beregu nombor enam dunia dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung 16-21, 17-21 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Istora Senayan.

"Dari aspek fizikal dan mental tiada masalah kerana mereka berada pada tahap terbaik dalam perlawanan itu," kata Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky.

"Cuma, mereka terlalu mudah memberikan mata kepada pihak lawan terutama ketika mata penting. Apabila mereka dapat mata, selepas itu mereka melakukan kesilapan mudah yang memberikan mata kepada lawan.

"Masalah ni perlu diatasi oleh Pang Ron-Ee Wei. Selain itu, mereka juga perlu memperbaiki corak permainan, perlu berani untuk bermain dengan pantas bila situasi memerlukan mereka berbuat demikian,".

Kekalahan menyaksikan Pang Ron-Ee Wei akan mengalihkan fokus mereka selepas ini bagi melakukan persiapan menghadapi saingan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung bermula 28 Jun hingga 3 Julai ini.

Bagaimanapun, pasangan itu berdepan laluan berliku untuk mara ke kelompok 16 terbaik apabila diundi bertemu pasangan China, Zheng Siwei-Huang Ya Qiong pada aksi pusingan pertama kejohanan yang akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil.

Berita Harian X