Khamis, 16 Jun 2022 | 6:55pm
Aksi Izzuddin-Sze Fei ketika tewas kepada pasangan Indonesia di Terbuka Indonesia semalam.
Aksi Izzuddin-Sze Fei ketika tewas kepada pasangan Indonesia di Terbuka Indonesia semalam.

Letak harapan tinggi punca Izzuddin-Sze Fei tumbang

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dinasihatkan agar tidak terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri yang menjadi antara faktor mereka bergelut dengan prestasi tidak menentu.

Pasangan ranking ke-12 dunia itu berdepan satu lagi episod mengecewakan apabila tersingkir di pusingan pertama Terbuka Indonesia, semalam selepas tewas kepada wakil tuan rumah yang juga pilihan ketujuh, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto 19-21, 14-21.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, berkata selepas kejayaan muncul juara di Terbuka Jerman dan mara ke final Terbuka Switzerland, Mac lalu, Izzuddin-Sze Fei meletakkan harapan yang terlalu besar sehingga memberi kesan terhadap prestasi mereka.

Justeru, Rexy berharap kedua-dua pemain itu dapat tampil dengan pendekatan berbeza apabila beraksi dalam saingan Terbuka Malaysia yang akan bermula 28 Jun hingga 3 Julai ini.

"Apabila mereka meletakkan harapan yang terlalu besar, itu memberikan tekanan kepada diri sendiri sehingga tidak dapat bermain dengan permainan sebenar mereka.

"Mereka seharusnya bermain dengan pemikiran 'nothing to lose'. Jika mereka dapat melakukannya, saya percaya itu akan membantu untuk meningkatkan lagi tahap keyakinan dan beraksi dengan lebih baik," kata Rexy.

Sementara itu, mengulas mengenai kekalahan di tangan Fajar-Muhamad Rian, Rexy berkata Izzuddin-Sze Fei lebih banyak bertahan disebabkan lawan mereka berjaya menguasai hampir keseluruhan permainan.

"Di set pertama mereka baik tetapi set kedua Fajar-Muhammad Rian mendominasi permainan. Sejak mereka memenangi Masters Indonesia, mereka dilihat mampu mengawal permainan yang mana Izzuddin-Sze Fei hanya boleh bertahan, pasangan kita juga kalah permainan di jaring," katanya.

Di Terbuka Malaysia, Izzuddin-Sze Fei akan membuka tirai saingan menentang pasangan Jepun, Keiichiro Matsui-Yoshinori Takeuchi di pusingan pertama.

Berita Harian X