Rabu, 15 Jun 2022 | 7:00pm
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Mohd Sazili Shahibi (barisan atas tengah) bersama penerima insentif pada Majlis Penyerahan Insentif Atlet UiTM Sukan SEA Hanoi 2021 di Pusat Sukan UiTM, Shah Alam. STR/FAIZ ANUAR
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Mohd Sazili Shahibi (barisan atas tengah) bersama penerima insentif pada Majlis Penyerahan Insentif Atlet UiTM Sukan SEA Hanoi 2021 di Pusat Sukan UiTM, Shah Alam. STR/FAIZ ANUAR

UiTM hargai keringat 10 atlet

SHAH ALAM: Bukan hanya menerima insentif, 10 atlet Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang berjaya mengharumkan nama negara dan universiti itu pada Sukan SEA Hanoi bulan lalu turut diberikan pengecualian yuran pengajian serta kemudahan asrama secara percuma.

Timbalan Naib Canselor (HEP) UiTM, Prof Dr Mohd Sazili Shahibi berkata, mereka yang beraksi dalam sukan sepak takraw, petanque, tenpin boling, berbasikal, catur dan angkat berat berjaya menyumbang empat perak dan lima gangsa.

"Ini sebagai menghargai jasa dan usaha mereka mengharumkan nama negara dan juga memberikan impak kepada UiTM sebagai sebuah pusat pengajian tinggi yang memberikan fokus kepada pembangunan sukan dalam negara.

"Pengecualian yuran dan kemudahan asrama ini sepanjang pengajian mereka. Kita berharap mereka akan terus bersemangat dan aktif dalam sukan sehingga tamat pengajian kerana selepas ini ada banyak kejohanan sukan lain dalam dan luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Penyerahan Insentif Atlet UiTM di Sukan SEA Hanoi dalam satu majlis di Pusat Sukan UiTM Shah Alam, di sini hari ini.

Selain penuntut, Mohd Sazili berkata, dua kakitangan UiTM turut menyumbang pingat dalam sukan bina badan dan futsal malah mereka juga menerima insentif.

"Terima kasih kepada semua atlet UiTM yang berjaya menghasilkan pingat dan semoga insentif yang diberikan pada petang ini akan terus membakar semangat atlet untuk terus kekal cemerlang mewakili negara dalam pelbagai kejohanan yang akan datang," katanya.

Menurutnya, UiTM menawarkan Skim Hadiah Kecemerlangan Universiti sejak 2004 bagi menghargai jasa atlet yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan yang menyumbang keringat mewakili negara di pelbagai kejohanan sukan antarabangsa dan juga tempatan.

"Di dalam perancangan strategik UiTM tahun 2020-2025, agenda sukan juga diberi penekanan dalam mencapai matlamat universiti untuk menjadi Global Renowned University (GRU) pada 2025.

"Tahun ini, atlet UiTM dijangka akan terus beraksi di pentas dunia apabila beberapa atlet dipilih mewakili pasukan universiti Malaysia dalam Kejohanan Sukan Universiti ASEAN di Thailand pada 26 Julai hingga 6 Ogos nanti.

"Dan kita juga mengharapkan beberapa atlet UiTM akan turut tersenarai dalam kontinjen negara ke Sukan Komanwel di Birmingham dari 28 Julai hingga 8 Ogos," katanya.

Berita Harian X