Isnin, 13 Jun 2022 | 8:23pm
Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia. - Foto ihsan FB BAM
Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia. - Foto ihsan FB BAM

Zii Jia tekad bangkit di Terbuka Indonesia

KUALA LUMPUR: Tekad lebih mendalam disematkan dalam diri oleh pemain badminton Malaysia bagi mengharungi Terbuka Indonesia yang dijadual membuka tirainya di Jakarta, esok.

Beraksi di venue sama, Stadium Istora Senayan yang menjadi lokasi menyaksikan Lee Zii Jia tewas di suku akhir Masters Indonesia minggu lalu, jaguh perseorangan profesional negara itu, bertekad untuk memperbaiki kelemahannya.

"Apa yan saya pelajari ketika di Masters Indonesia adalah perlu kurang melakukan kesalahan yang tak sepatutnya dan harus lebih banyak bersabar," katanya yang kini berada di ranking kelima dunia itu.

Zii Jia yang tewas di tangan Anthony Sinisuka Ginting 18-21, 21-16, 21-15 di suku akhir Masters Indonesia itu, dijadual bertemu pemain Thailand, Sitthikom Thammasin pada pusingan pertama.

Pemain berusia 24 tahun itu di atas kertas tidak mempunyai halangan untuk menumpaskan Thammasin yang berada di ranking ke-31 dunia itu dengan tiga rekod pertemuan memihak kepada Zii Jia.

Kali terakhir Zii Jia meraih kemenangan ke atas Thammasin adalah di pusingan kedua Masters Indonesia 2019 dengan keputusan 21-13, 21-13.

Sementara itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah turut menyatakan hasrat sama selepas terkandas di separuh akhir Masters Indonesa, juga di tangan wakil tuan rumah, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 23-21, 14-21, 14-21.

"Jujurnya, kami perlu menunjukkan peningkatan yang lebih baik dan kami mahu menjadi lebih baik pada saingan seterusnya," kata Thinaah. "Terima kasih kepada rakan gandingan kerana minggu yang menakjubkan ini."

Pearly-Thinaah dijadual bertemu rakan senegara, Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing pada pusingan pertama nanti dan ini adalah pertemuan pertama antara kedua-dua beregu ini.

Berita Harian X