Jumaat, 10 Jun 2022 | 7:20pm
Aksi Aaron-Wooi Yik ketika menentang pasangan China di suku akhir Masters Indonesia hari ini.
Aksi Aaron-Wooi Yik ketika menentang pasangan China di suku akhir Masters Indonesia hari ini.

Dua beregu negara terkandas di suku akhir

KUALA LUMPUR: Selepas Lee Zii Jia dan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, giliran Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei ditunjukkan jalan keluar daripada saingan Masters Indonesia selepas tewas dalam aksi suku akhir, sebentar tadi.

Beregu lelaki negara itu yang turun berdepan pasangan nombor satu dunia yang juga wakil tuan rumah, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo pada awalnya menyalakan harapan buat peminat tempatan apabila menang 21-10 di set pertama.

Bagaimanapun, Gideon-Kevin nyata tidak rela dimalukan di hadapan penyokong sendiri di Istora Senayan apabila mencetuskan kebangkitan sensasi untuk memenangi dua set berikutnya 21-11, 21-18 sekali gus mengesahkan tiket ke separuh akhir.

Mereka akan berdepan pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang yang menewaskan Aaron-Wooi Yik dalam satu lagi aksi suku akhir bagi perebutan tiket ke final, esok.

Kekalahan ketiga-tiga wakil lelaki negara itu menyaksikan hanya tinggal beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang masih meneruskan cabaran Malaysia selepas mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.

Pearly-Thinaah berdepan laluan berliku untuk mara ke final apabila dijadual menentang pilihan ketujuh dari Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti.

Berita Harian X