Jumaat, 10 Jun 2022 | 6:38pm
Aksi Zii Jia ketika menentang pemain Indonesia Anthony Sinisuka Ginting di suku akhir Masters Indonesia.
Aksi Zii Jia ketika menentang pemain Indonesia Anthony Sinisuka Ginting di suku akhir Masters Indonesia.

Zii Jia 'tenggelam' di Istora Senayan

KUALA LUMPUR: Misi jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk merekodkan gelaran ketiga berturut-turut lebur selepas tersingkir di peringkat suku akhir Masters Indonesia, sebentar tadi.

Pemain nombor lima dunia itu 'tenggelam' di Istora Senayan apabila tumbang di tangan wakil tuan rumah, Anthony Sinisuka Ginting dalam pertarungan tiga set 21-18, 16-21, 15-21 dalam aksi yang berlangsung selama 69 minit.

Keputusan itu menyaksikan Ginting melebarkan rekod kemenangan ke atas Zii Jia apabila dia kini menang lima daripada enam pertemuan.

Pilihan keempat kejohanan itu akan bertemu sama ada pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen atau pemain Hong Kong, Ng Ka Long bagi merebut tiket ke pentas final, esok.

Zii Jia sebelum ini diletakkan antara pilihan untuk menjuarai kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 500 itu apabila hadir di Jakarta dengan reputasi tinggi selepas berjaya muncul juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) dan Terbuka Thailand, bulan lalu.

Sementara itu, nasib sama turut dialami beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila gagal untuk melangkah ke separuh akhir.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu terpaksa akur apabila tewas di tangan pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang 21-16, 13-21, 17-21.

Berita Harian X