Jumaat, 10 Jun 2022 | 5:13pm
Aksi Pearly-Thinaah ketika menentang pasangan Thailand pada suku akhir Masters Indonesia.
Aksi Pearly-Thinaah ketika menentang pasangan Thailand pada suku akhir Masters Indonesia.

Pearly-Thinaah mara ke separuh akhir

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas pasangan Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai apabila menewaskan lawan itu untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir Masters Indonesia, sebentar tadi.

Pearly-Thinaah tampil dengan prestasi terbaik mereka dengan melakar kemenangan straight set 21-11, 21-16 dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Istora Senayan.

Kemenangan itu adalah yang keempat buat Pearly-Thinaah ke atas beregu Thailand berkenaan selepas turut menang dalam tiga pertemuan sebelum ini.

Pasangan ranking ke-10 dunia itu akan menentang pemenang perlawanan antara pilihan ketujuh dari Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dengan beregu Korea Selatan, Lee So Hee-Shin Seung Chan bagi perebutan tempat ke pentas final, esok.

Dalam pada itu, tiga pemain negara disahkan mengalami keracunan makanan yang dipercayai berpunca daripada makanan di hotel penginapan.

Pemain beregu campuran, Chan Peng Soon antara yang mengalami keracunan makanan sehingga menyaksikan dia dan pasangannya, Cheah Yee See terpaksa menarik diri ketika aksi pusingan semalam sekali gus memberi kemenangan percuma kepada lawan mereka dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung untuk mara ke suku akhir.

Satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Teo Ee Wei turut berdepan masalah sama namun mereka lebih bernasib baik apabila sempat beraksi di pusingan kedua tetapi tewas kepada pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 22-20, 5-21, 15-21, semalam.

Difahamkan, beberapa lagi pemain dari negara lain turut mengalami keracunan makanan termasuklah Chung Man.

Berita Harian X