Khamis, 9 Jun 2022 | 8:38pm
Aksi Izzuddin-Sze Fei ketika menewaskan pasangan Indonesia pada pusingan kedua Masters Indonesia di Istora Senayan. - Foto ihsan FB BAM
Aksi Izzuddin-Sze Fei ketika menewaskan pasangan Indonesia pada pusingan kedua Masters Indonesia di Istora Senayan. - Foto ihsan FB BAM

Dua beregu negara 'diamkan' Istora Senayan

KUALA LUMPUR: Dua beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei berjaya membuatkan Istora Senayan 'terdiam' apabila masing-masing menyingkirkan wakil tuan rumah untuk melangkah ke suku akhir Masters Indonesia, hari ini.

Walaupun terpaksa berdepan dengan sorakan padu penyokong tuan rumah, Aaron-Wooi Yik membuktikan situasi itu tidak melunturkan semangat perjuangan mereka apabila berjaya mengatasi gandingan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 27-25, 21-14 dalam aksi pusingan kedua.

Begitu juga Izzuddin-Sze Fei yang tampil cemerlang untuk menewaskan satu lagi pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani menerusi kemenangan 23-21, 17-21, 21-9 sekali gus mengesahkan tiket ke kelompok lapan terbaik.

Perebutan tempat ke separuh akhir esok bakal menyaksikan Aaron-Wooi Yik yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 menentang pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Izzuddin-Sze Fei pula yang menjuarai Terbuka Jerman, Mac lalu berdepan satu lagi tugas mencabar apabila dijadual menentang pilihan pertama kejohanan yang juga wakil tuan rumah, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Sementara itu, perjuangan beregu wanita profesional negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sin berakhir di pusingan kedua selepas tewas di tangan gandingan tuan rumah yang juga pilihan ketujuh, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 17-21, 19-21.

Dalam saingan beregu campuran, pasangan negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See membuat keputusan menarik diri sekali gus memberi kemenangan percuma kepada lawan mereka dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung sekali gus mara ke suku akhir.

Berita Harian X