Khamis, 9 Jun 2022 | 5:11pm
Aksi Zii Jia ketika menentang Mark Caljouw pada pusingan kedua Masters Indonesia.
Aksi Zii Jia ketika menentang Mark Caljouw pada pusingan kedua Masters Indonesia.

Zii Jia ke suku akhir Masters Indonesia

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menepati ramalan apabila melangkah ke suku akhir Masters Indonesia, hari ini.

Pemain nombor lima dunia itu tidak berdepan masalah untuk mengatasi Mark Caljouw dari Belanda 21-17, 21-14 dalam aksi pusingan kedua kejohanan yang berlangsung di Stadium Istora Senayan.

Zii Jia yang dalam misi memburu gelaran ketiga berturut-turut akan berdepan pemenang perlawanan antara pilihan keempat dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting dengan pemain Thailand, Sitthikom Thammasin bagi merebut tiket ke separuh akhir esok.

Dia yang berada di bawah bimbingan Indra Wijaya itu hadir di Istora Senayan dengan reputasi tinggi selepas berjaya muncul juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) dan Terbuka Thailand, bulan lalu.

Sementara itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengesahkan tiket ke suku akhir.

Juara Terbuka Switzerland 2021 itu menyingkirkan pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee Yu Lim 21-23, 21-17, 21-15 dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung selama 1 jam 30 minit.

"Kami sangat gembira dengan kemenangan ini tetapi kami tidak boleh leka. Kami perlu kekal fokus bagi menghadapi perlawanan suku akhir yang pastinya lebih mencabar," kata Thinaah.

Pearly-Thinaah akan berdepan pilihan keempat kejohanan dari Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai bagi perebutan tempat ke separuh akhir.

Dalam saingan beregu campuran, nasib tidak menyebelahi pasangan negara, Hoo Pang Ron-Teo Ee Wei yang tersingkir di pusingan kedua selepas tewas kepada pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 22-20, 5-21, 15-21.

Berita Harian X