Rabu, 8 Jun 2022 | 9:13pm
Zii Jia mara ke pusingan kedua Masters Indonesia. - Foto Bernama
Zii Jia mara ke pusingan kedua Masters Indonesia. - Foto Bernama

Zii Jia langkah kanan di Jakarta

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memulakan misi memburu gelaran ketiga berturut-turut dengan langkah kanan apabila mengesahkan tiket ke pusingan kedua Masters Indonesia, sebentar tadi.

Kejayaan itu hadir selepas pemain nombor lima dunia berkenaan menewaskan Kantaphon Wangcharoen dari Thailand 21-16, 21-12 dalam aksi pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Istora Senayan.

Zii Jia yang kini bergerak secara profesional akan berdepan pemain Belanda, Mark Caljouw dalam perebutan tempat ke suku akhir, esok.

Dia yang berada di bawah bimbingan Indra Wijaya itu hadir di Istora Senayan dengan reputasi tinggi selepas berjaya muncul juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) dan Terbuka Thailand, bulan lalu.

Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan lelaki profesional negara, Soong Joo Ven tersingkir di pusingan pertama selepas tewas di tangan pilihan ketiga kejohanan dari Taiwan, Chou Tien Chen 15-21, 20-22.

Dalam saingan beregu campuran pula menyaksikan pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama selepas tewas di tangan Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran dari Thailand 17-21, 16-21.

Berita Harian X