Isnin, 23 Mei 2022 | 6:15pm
Pemain negara, Lee Zii Jia meraikan kejayaan memenangi perseorangan lelaki Terbuka Thailand selepas menewaskan pemain China, Li Shifeng pada aksi final di Impact Arena, Bangkok, semalam. - Foto AFP.
Pemain negara, Lee Zii Jia meraikan kejayaan memenangi perseorangan lelaki Terbuka Thailand selepas menewaskan pemain China, Li Shifeng pada aksi final di Impact Arena, Bangkok, semalam. - Foto AFP.

Indra harap Zii Jia kekal rendah diri

KUALA LUMPUR: Ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.

Itulah yang dimahukan Indra Wijaya terhadap anak didiknya, Lee Zii Jia yang kini berada di kemuncak prestasi selepas menjuarai saingan Terbuka Thailand, semalam.

Jurulatih dari Indonesia itu mengingatkan pemain nombor enam dunia berkenaan agar kekal merendah diri dan perlu sedar betapa lebih banyak cabaran hebat bakal dihadapinya dalam usaha menakluki dunia.

"Sekarang, tiada lawan yang mudah. Jadi, Zii Jia perlu kekal merendah diri dan bekerja keras dalam latihan bagi mengekalkan konsistensinya.

"Apa yang dicapainya ketika ini adalah satu permulaan buat dirinya. Dia harus sentiasa bersedia untuk berdepan dengan cabaran yang lebih hebat selepas ini," kata Indra kepada BH Sukan.

Semalam, Zii Jia, 24, mencetuskan kebangkitan sensasi di set ketiga bagi merekodkan gelaran kedua-dua berturut-turut tahun ini apabila menjuarai Terbuka Thailand dengan menewaskan pemain China, Li Shi Feng 17-21 21-11 23-21 dalam aksi final di Impact Arena, Bangkok.

Dia menjadi pemain ketiga negara merangkul gelaran itu selepas Yong Hock Kin pada 2001 dan Muhamad Hafiz Hashim (2005).

Pada 1 Mei lalu, pemain dari Alor Setar, Kedah itu merangkul gelaran pertamanya tahun ini apabila mengungguli saingan Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Manila, Filipina.

Seminggu selepas itu dia bersama skuad negara membawa cabaran dalam saingan Piala Thomas yang menyaksikan dia menang semua perlawanan termasuk menewaskan bintang sensasi Jepun, Kento Momota dan juara Seluruh England, Lakshya Sen dari India.

Susulan kejuaraan di Bangkok, Zii Jia dijangka menembusi kelompok lima terbaik ranking dunia buat kali pertama dalam kerjayanya menerusi kemaskini terbaharu yang dijadual dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) minggu ini.

Sementara itu, Zii Jia mengakui puas apabila dia akhirnya berjaya merekodkan gelaran secara berturut-turut menerusi kejayaan di Bangkok.

"Secara jujurnya sebelum perlawanan saya mengalami keletihan dari aspek mental dan fizikal. Namun, saya terlalu mahukan kejuaraan ini.

"Inilah yang saya mahukan selama ini iaitu menjadi juara secara berturut-turut dan ia sangat bermakna untuk diri saya. Dalam perlawanan, saya beritahu kepada diri sendiri yang saya tidak boleh berputus asa dan akhirnya saya berjaya melakukannya," katanya.

Zii Jia akan mengalihkan fokusnya selepas ini bagi menghadapi saingan Terbuka Indonesia di Jakarta yang akan bermula 14 hingga 19 Jun ini.

Berita Harian X