Ahad, 22 Mei 2022 | 5:28pm
Jaguh badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia. - Foto ihsan FB BAM.
Jaguh badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia. - Foto ihsan FB BAM.

Zii Jia juara Terbuka Thailand

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia mengungguli Terbuka Thailand selepas mengetepikan pemain China, Li Shi Feng pada aksi final di Impact Arena, Bangkok, sebentar tadi.

Pemain berusia 24 tahun itu meraih kemenangan dalam pertarungan tiga set 17-21 21-11 23-21.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Zii Jia muncul pemain ketiga negara merangkul gelaran itu selepas Yong Hock Kin pada 2001 dan Hafiz Hashim (2005).

Pada aksi final berkenaan, corak permainan pantas yang diperagakan pemain ranking ke-49 dunia itu mengejutkan Zii Jia sekali gus memaksa pemain keenam dunia itu tewas set pertama 17-21.

Jaguh badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia (kanan) ketika aksi final bertemu Li Shi Feng di Impact Arena, Bangkok. - Foto BERNAMA
Jaguh badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia (kanan) ketika aksi final bertemu Li Shi Feng di Impact Arena, Bangkok. - Foto BERNAMA

JUARA Terbuka Thailand, Lee Zii Jia (kanan) bergambar bersama Li Shi Feng. - Foto AFP
JUARA Terbuka Thailand, Lee Zii Jia (kanan) bergambar bersama Li Shi Feng. - Foto AFP

Namun Zii Jia bangkit dengan corak permainan lebih kemas untuk memenangi set kedua dengan mudah 21-11 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Situasi cemas disaksikan pada set penentuan apabila Zii Jia ketinggalan 15-18, namun dia memperagakan semangat untuk bangkit apabila memadamkan terus cabaran Shi Feng menerusi kemenangan mutlak 23-21.

Kejayaan di Bangkok itu adalah gelaran kedua buat pemain berusia 24 tahun itu pada tahun ini selepas menjuarai Kejohanan Badminton Asia di Manila, awal bulan lalu.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan pemain dari Kedah itu berkata yang beliau berterusan memberitahu dirinya untuk terus tenang ketika ketinggalan pada set penentuan, sebelum beliau berjaya kembali melawan dan menang perlawanan itu.

"Ia satu perlawanan yang sukar. Shi Feng bermain dengan amat baik sekali, bukan sahaja hari ini tetapi di sepanjang kejohanan ini. Beliau seorang lawan yang sukar. Saya amat gembira untuk melepasinya.

"Saya kata pada diri saya untuk tidak putus asa ketika ketinggalan 4-11. Pada saat genting, saya tenangkan diri dan hadapinya," katanya.

Zii Jia mengakui yang beliau keletihan dari segi mental dan fizikal, selepas kejohanan berintensiti tinggi - Kejuaraan Asia dan Piala Thomas, namun beliau terus berjuang untuk menang gelaran itu.

"Saya amat mahukan gelaran ini," katanya

Atas kejayaannya itu, Zii Jia meraih hadiah berjumlah AS$27,000 (RM118,503) manakala Shi Feng membawa pulang AS$13,680 (RM60,041.52).

Sementara itu, pemain Taiwan Tai Tzu Ying menjuarai perseorang wanita selepas mengalahkan pemain China Chen Yu Fei, 21-13,17-21, 21-12.

Dalam acara beregu, pasangan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida mengalahkan rakan senegara, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara, 17-21,21-15, 26-24.

Bagi acara beregu lelaki pula menyaksikan pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, memenangi gelaran itu selepas pasangan Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, menarik diri.

Berita Harian X