Ahad, 15 Mei 2022 | 6:39am
Pemain badminton perseorangan Korea Selatan Sim Yu Jin dan rakan sepasukan menjulang Piala Uber lepas mengalahkan pasukan China 3-2 pada perlawanan akhir di Stadium Impact Arena Bangkok malam tadi. - BERNAMA

Pemain Korea, Sim Yu-jin beraksi ketika menentang Wang Zhi Yi dari China. - Foto EPA
Pemain Korea, Sim Yu-jin beraksi ketika menentang Wang Zhi Yi dari China. - Foto EPA

Korea Selatan runtuhkan Tembok Besar China

BANGKOK: Korea Selatan akhirnya berjaya menamatkan penantian 12 tahun mereka selepas berjaya mengalahkan juara bertahan China 3-2, seterusnya dinobatkan sebagai juara Piala Uber 2022 di Impact Arena, di sini hari ini.

Pemain nombor 46 dunia Sim Yu Jin, melakukan kejutan pada perlawanan terakhir dengan menunjukkan permainan menakjubkan mengalahkan pemain nombor 15 dunia Wang Zhi Yi, bagi memastikan kemenangan kali kedua negara itu, selepas melakukannya buat kali pertama pada edisi 2010 di Kuala Lumpur.

Juara Olimpik Tokyo 2020 Chen Yu Fei memberikan mata pertama untuk China, selepas kembali daripada kekalahan set pertama untuk menang dua lagi set dan mengalahkan pemain nombor empat dunia An Se Young, 17-21, 21-15 dan 22-20 dalam masa 91 minit.

Aksi Pemain Badminton beregu Korea Selatan Kim Hye Jeong dan Kong Hee Yong membalas hantaran lawannya dari China Huang Dong Ping dan Li Wen Mei pada perlawanan Akhir Kejohanan Piala Uber di Stadium Impact Arena Bangkok hari ini.

Pada perlawanan kedua yang cukup menarik, pasangan nombor dua dunia Lee So Hee-Shin Seung Chan yang kalah set pertama 12-21, kembali untuk menang dua set berikutnya 21-18, 21-18 ke atas pasangan nombor satu dunia Chen Qing Chen-Jia Yi Fan, bagi menyamakan kedudukan untuk Korea.

China kembali di hadapan selepas pemenang pingat emas Olimpik Remaja 2014 He Bing Jiao, mengalahkan Kim Ga Eun 21-14, 21-13 dalam masa 43 minit.

Bagaimanapun satu lagi pasangan Korea Selatan Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong memastikan mereka masih di dalam pertarungan apabila menewaskan pasangan Huang Dong Ping-Li Wen Mei 22-20, 21-17.

Pasukan Korea Selatan kemudiannya meneruskan momentum untuk menang apabila Yu Jin tidak menunjukkan sebarang tanda takut untuk mengatasi Zhi Yi dalam satu perlawanan mencabar, 28-26, 18-21, 21-18, bagi memastikan kemenangan untuk negaranya.

Pasukan Korea Selatan meluru ke dalam gelanggang untuk meraikan kemenangan mereka. Zhi Yi keluar gelanggang dalam keadaan menangis.

Sementara itu Yu Jin tidak percaya bahawa beliau dapat memberikan mata penting untuk memenangi gelaran untuk negaranya.

"Satu laungan sokongan daripada rakan sepasukan berdekatan gelanggang benar-benar memberikan saya semangat untuk mendapatkan mata kemenangan dan berikan gelaran Piala Uber buat kali kedua untuk negara saya," katanya kepada media di sini.

Kejohanan lapan hari akan berakhir esok di mana India akan mencuba untuk memenangi gelaran sulung Piala Thomas mereka dengan berhadapan juara bertahan, Indonesia, pada jam 2 petang waktu Malaysia. - BERNAMA

Sim Yu-jin (kanan) dari Korea Selatan beraksi semasa perlawanan akhir perseorangan wanita menentang Wang Zhi Yi (kiri) dari China pada BWF Final Piala Thomas dan Uber 2022 di Nonthaburi, Thailand. - Foto EPA

Berita Harian X