Jumaat, 13 Mei 2022 | 2:12pm
Aksi Aaron Chia (belakang) bersama Teo Ee Yi ketika menentang beregu India Krishna Prasad Garanga-Vishnurvardhan Panjala pada suku akhir Piala Thomas malam tadi. - Foto AFP
Aksi Aaron Chia (belakang) bersama Teo Ee Yi ketika menentang beregu India Krishna Prasad Garanga-Vishnurvardhan Panjala pada suku akhir Piala Thomas malam tadi. - Foto AFP

Tak perlu tuding jari kepada sesiapa - Aaron

KUALA LUMPUR: Menang sama-sama, kalah pun sama-sama.

Itu semangat ditunjukkan kapten skuad Piala Thomas negara, Aaron Chia susulan kekalahan 2-3 di tangan India pada aksi suku akhir di Impact Arena, Bangkok, Thailand, malam tadi.

Pemain beregu lelaki negara itu, berkata seluruh pasukan bertanggungjawab di atas kekalahan berkenaan dan tidak perlu menyalahkan mana-mana pemain.

"Secara keseluruhannya, pemain menunjukkan semangat kerjasama sepasukan yang tinggi dan kami sudah cuba untuk memberikan yang terbaik.

"Tidak perlu salahkan sesiapa di atas kekalahan itu atau barisan pemain yang diturunkan. Kita hanya perlu terima hakikat yang kami tewas kepada pasukan yang lebih baik (India) dan kami menang ke atas pasukan yang kuat (Jepun).

"Kami semua membuktikan betapa kami boleh tewas kepada pasukan yang kuat tetapi dalam masa yang sama menang ke atas pasukan yang kuat juga," katanya kepada BH Sukan.

Sehari sebelum kekalahan di tangan India, skuad negara mempamerkan prestasi luar biasa apabila melakar kemenangan ke atas Jepun 3-2 dalam aksi terakhir Kumpulan D sekali gus muncul juara kumpulan.

Bagaimanapun, momentum berkenaan gagal diteruskan dengan hanya jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan Aaron yang bergandingan bersama Teo Ee Yi selaku beregu kedua menyumbangkan mata kepada pasukan dalam pertemuan dengan India.

Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang diturunkan sebagai beregu pertama selain Ng Tze Yong (perseorangan kedua) dan Leong Jun Hao (perseorangan ketiga) gagal menyumbang mata apabila tewas di tangan lawan masing-masing.

Kekalahan menyaksikan Malaysia terpaksa menunggu dua tahun lagi bagi menamatkan kemarau panjang kejuaraan Piala Thomas selepas kali terakhir menjulang trofi berprestij berkenaan pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Sejak itu, pencapaian terbaik skuad negara adalah empat kali muncul naib juara pada edisi 1994 di Jakarta, Indonesia, 1998 di Hong Kong, 2002 di Guangzhou, China dan 2014 di New Delhi, India.

Tahun lalu di Aarhus, Denmark, skuad negara turut tersingkir di suku akhir selepas tewas di tangan Indonesia 0-3.

Kali terakhir Malaysia mara ke separuh akhir adalah pada edisi 2016 di Kunshan, China sebelum tewas kepada Denmark 2-3.

Berita Harian X