Jumaat, 13 Mei 2022 | 7:04am
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menenangkan Leong Jun Hao selepas dia gagal membutirkan mata kemenangan ketika menentang India pada suku akhir Piala Thomas di Stadium Impact Arena Bangkok malam tadi. - Foto BERNAMA
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menenangkan Leong Jun Hao selepas dia gagal membutirkan mata kemenangan ketika menentang India pada suku akhir Piala Thomas di Stadium Impact Arena Bangkok malam tadi. - Foto BERNAMA

Nasib tak menyebelahi kita - Ahmad Faizal

BANGKOK: Perasaan gementar dan terlalu berhati-hati dilihat memberi kesan kepada pemain Malaysia yang menyebabkan kekalahan mengejut kepada India dalam perlawanan suku akhir Piala Thomas malam tadi.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pemain telah melakukan yang terbaik, namun nasib tidak menyebelahi mereka.

"Pemain kita boleh melakukan lebih baik lagi. Saya nampak dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini, mereka melakukannya dengan sangat baik. Kesemua pemain telah mencuba dengan sebaik mungkin. Itu yang kita harapkan. Namun, nasib tidak menyebelahi kita," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Impact Arena di sini.

Sebelum itu, Ahmad Faizal bersama Duta Malaysia di Thailand, Datuk Jojie Samuel hadir menyaksikan perlawanan suku akhir Piala Thomas antara Malaysia dan India.

Ahmad Faizal berharap pemain Malaysia akan terus berlatih bersungguh-sungguh untuk menghadapi kejohanan akan datang.

"Kita cuba di lain siri Piala Thomas," katanya.

Malaysia yang mengalami kemarau kejuaraan selama tiga dekad sejak kali terakhir menjuarai Piala Thomas pada 1992 di Kuala Lumpur, kalah 2-3 kepada India dalam perlawanan suku akhir di sini malam tadi. - BERNAMA

Berita Harian X